Isu sijil, elaun tuai rumah agenda utama pada mesyuarat PKTRDS

0

SARATOK: Masalah pemberian sijil dan elaun bagi tuai rumah terus menjadi salah satu agenda yang diperdebat pada sesi Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Tuai Rumah Daerah Saratok (PKTRDS) Bagi 2015, semalam.

Pengerusi PKTRDS Tuai Rumah Aju Mawat berkata, sungguhpun isu ini seringkali dibangkit namun masalah ia belum mendapat penyelesaian sepenuhnya kerana masih ada tuai rumah yang layak serta memenuhi syarat tercicir nama sebagai penerima.

“Keadaan ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa segelintir tuai rumah dan berharap mana-mana pihak berkaitan dapat mengambil langkah drastik dalam mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Mawat menjelaskan, masalah itu tidak harus dibiarkan berlarutan kerana ia memberi pelbagai kesan sampingan negatif serta menjejas nama semua pihak berkaitan.

“Sebagai contoh, daerah Saratok iaitu sebuah rumah panjang di kawasan Malong mempunyai 28 pintu keluarga berdaftar sebagai penghuni bernaung di bawah seorang tuai rumah sejak 2005 lalu, dan hingga sekarang beliau belum menerima sijil pelantikan yang sah apatah lagi elaun,” kata Aju.

Mesyuarat PKTRDS dihadiri seramai 100 orang dan telah diadakan di salah sebuah hotel dekat sini.

Pada majlis sama, ahli PKTRDS mengatakan untuk memberi memberi sokongan terhadap penggunaan perkataan ‘Dayak’ bagi menukar penggunaan perkataan lain-lain.

Ahli PKTRDS turut membahas isu hukum hudud dengan menyuara pendapat bahawa PKTRDS tidak bersetuju sekiranya perkara terbabit dibawa ke negeri ini.

“Seperti kita tahu, hukum hudud ini tidak sesuai diperkenal di negeri ini terutama yang mengamalkan pelbagai fahaman agama, kepercayaan dan juga kebudayaan.

“Pada masa sama juga, kita turut memberi sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem secara terang menentang kemasukan ekstremis keagamaan di negeri ini,” katanya.

Jelasnya, selain itu juga, PKTRDS memberi sokongan penuh terhadap Ketua Menteri Sarawak atas dasar kepimpinan dan kesungguhan membawa kemajuan serta pembangunan kepada negeri dan penduduk di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar,” tegas mereka.

Pada majlis yang sama juga, ahli PKTRDS turut mengutara cadangan agar pihak berkaitan serta mengetahui lebih terperinci mengenai cukai GST supaya menyampai konsep utama GST ke kawasan rumah panjang dan pedalaman.

Menurut mereka, usaha ini amat penting dalam memastikan tiada kekeliruan berlaku kepada masyarakat di kawasan luar bandar.

Dalam sesi pemilihan ahli bagi sesi 2015-2016, sekali lagi ahli jawatankuasa untuk penggal 2013-2015 tersebut dikekalkan, di mana Tuai Rumah Aju Mawat sebagai Pengerusi PKTRDS, Tuai Rumah Ambrose Ambu sebagai Timbalan Pengerusi, Tuai Rumah Insol Untang sebagai Setiausaha, Tuai Rumah Jackson Akong sebagai Bendahari, manakala Tuai Rumah Johnny sebagai Timbalan Bendahari.