Mati bogel, diikat

0

Oleh Jeremy Lanson//

 

KES BUNUH: Mayat mangsa dihantar ke HUS untuk dibedah siasat.

KUCHING: Seorang wanita yang menginap di sebuah hotel bajet di Jalan Green Hill di sini sejak Rabu lepas mati dipercayai dibunuh selepas ditemui dalam keadaan bogel dengan tangan dan kakinya diikat, semalam.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Lam, 42, ditemui mati oleh pekerja hotel berkenaan yang segera memaklumkan kepada pihak hospital sekitar jam 11.30 pagi.

Menurut seorang pekerja, mangsa bersama seorang lelaki dipercayai warga asing tiba di hotel tersebut sekitar jam 9 pagi Rabu lepas, namun enggan mendaftar masuk dengan alasan cuma memerlukan sebuah bilik untuk berehat.

“Saya ada meminta dokumen peribadi daripada dia (mangsa) untuk tujuan pendaftaran, tetapi dia enggan kerana mereka cuma ingin menginap beberapa jam sahaja dan dia (mangsa) telah membayar RM45 untuk itu.

“Sekitar jam 1 petang (hari sama), rakan mangsa itu keluar dari bilik dengan membawa beberapa bagasi dan memberitahu dia perlu ke Serian.

“Sebelum beredar, dia membayar RM45 untuk penginapan sehari lagi dan memberitahu rakannya (mangsa) itu masih berada di dalam bilik,” kata pekerja terbabit.

Tambahnya, mangsa yang perlu mendaftar keluar semalam bagaimanapun gagal berbuat demikian menyebabkan seorang pekerja hotel tersebut terpaksa melakukan pemeriksaan ke dalam bilik.

“Saya hubungi biliknya berkali-kali, tetapi tidak dijawab. Jadi, seorang rakan sekerja saya terpaksa memeriksa ke dalam bilik dan terkejut melihat mangsa tidak lagi bernyawa dan badannya ditutup dengan selimut.

“Pada mulanya kami tidak menyangka dia dibunuh sehinggalah ketibaan anggota paramedik dan melihat tangan serta kakinya diikat dan terdapat kesan jerutan atau dicekik pada lehernya,” katanya.

Mereka kemudian terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan insiden tersebut.

Difahamkan juga, tiada sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu siasatan oleh anggotanya di tempat kejadian turut menemui kereta milik mangsa.

“Kita telah pergi ke setiap rumah pemilik kenderaan yang terdapat di situ dan kebetulan sebuah daripada kereta di situ adalah milik mangsa membolehkan kita mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan.