Pemain Liberia pilihan Alberts

0

PATRICK

KUCHING: Pemain warganegara Liberia, Patrick Nyema Gerhardt menjadi pilihan pengendali Sarawak Robert Alberts bagi menggantikan Ronald Hikspoors.

Alberts mengumumkan pemilihan Patrick selepas pemain itu menunjukkan permainan meyakinkan pada perlawanan persahabatan di Stadium Negeri di sini petang semalam.

Patrick, 29, kelahiran Switzerland mempunyai ketinggian enam kaki dan pernah mewakili skuad kebangsaan Liberia.

Kelab terakhir diwakili Patrick adalah Melbourne Heart yang bersaing dalam Liga Australia.

“Beliau memiliki ciri-ciri pemain yang kita perlukan untuk membantu di barisan pertahanan skuad Ngap Sayot,” kata Alberts ditemui selepas latihan semalam.

Bel iau juga berharap kehadiran Patrick dapat memperkuatkan jentera pertahanan Sarawak bagi mengharungi baki kempen Liga Super musim ini.

Pemilihan Patrick sekali gus menyingkirkan dua pesaingnya, Bogdan Vasile Panait, 31, (Romania) yang telah pun kembali lebih awal pagi semalam berbanding seorang lagi calon import, Thimothy Dreesen, 28, (Belgium) yang gagal menghabiskan permainan petang semalam setelah ditimpa kecederaan ringan.