Program ‘Borneo Talk’ perkenal Sarawak sebagai destinasi pelaburan

0

KUCHING: Program interaktif ‘Borneo Talk’ mendapat sambutan begitu memberangsangkan daripada 40 pelanggan korporat insentif berpotensi.

Dianjur oleh Biro Konvensyen Sarawak (SCB), program itu diadakan di Hotel Hilton Sydney, baru-baru ini.

SCB menerusi kenyataan akhbar semalam berkata, program itu dianjur sebagai sebahagian daripada Kempen ‘7 Wonders of Borneo’ yang menyasarkan pameran terbaik Borneo.

Selain itu, ia turut berperanan mengekal kehadiran Sarawak sebagai pemain industri.

Mengetuai delegasi ke Sydney ialah Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Global SCB Amelia Roziman, Pengurus Pembangunan Perniagaan SCB Anedia Kahar dan wakil dari CPH Travel Oscar Choo dan wakil Cat City Holidays Mok Venia.

Selain itu, rombongan delegasi juga diperkenal oleh wakil lantikan SCB Australia Dr Caroline Hong.

“Menerusi program ‘Borneo Talk’ ini, kita mahu mengambil peluang sedia ada memperkenal Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan berpotensi selain menekankan dua rakan kongsi industri diperlu pembekal dari pasaran Australia,” katanya.

Jelasnya, ia juga menjadi sebahagian daripada startegi SCB merebut pasaran Australia supaya menyertai program ini.

“Jika kita gagal membawa mereka dalam kadar segera ke Sarawak, kita akan membawa Sarawak ke Australia,” kata Hong menerusi kenyataan akhbarnya semalam.

Sementara itu, Amelia berkata, Sarawak merupakan destinasi begitu indah untuk golongan insentif korporat dan berharap agar rakyat Australia mempunyai perasaan mendalam menjelajah Borneo sebagai pengalaman hidup mereka.

“Kami bermula dengan Kempen ‘7 Wonders of Borneo’ bertujuan menekan apa terbaik yang terdapat di Borneo untuk diuar-uar kepada orang lain.

“Pada masa sama, kami berharap supaya tawaran ini memberi keterujaan kepada tetamu berkunjung ke Sarawak selain menarik minat untuk menyertai acara diadakan di Sarawak,” katanya.