Promosi pembinaan bangunan hijau: Talib

0

RASMI: Talib (kanan) merasmikan Pameran Perdagangan Bangunan (BTS) 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching semalam.

KUCHING: Pemain industri pembinaan di negeri ini disaran untuk mempromosi pembinaan bangunan hijau yang mampu menjamin kelestarian alam sekitar demi kebaikan bersama.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datuk Talib Zulpilip berkata pembinaan bangunan hijau bukan sekadar memberi manfaat kepada sesuatu projek, malah masyarakat setempat.

Katanya, ia juga mampu memberi jaminan kepada peningkatan aspek lain ke arah pembangunan hijau seperti sektor perniagaan hijau, pekerjaan hijau serta ekonomi hijau.

“Apa sahaja aktiviti berhubung pembangunan hijau haruslah bersifat penggunaan teknologi dan peralatan yang berupaya mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.

“Pada masa sama, ia boleh mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai bangunan, meningkatkan akses kepada modal dari tabung pelaburan hartanah bertanggungjawab serta meningkatkan sewa dan kadar penghunian,” ujarnya pada Pameran Perdagangan Bangunan (BTS) 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Cawangan Sarawak bertemakan ‘Go Green’ di sini semalam.

Katanya, dari aspek manfaat kepada masyarakat ia berupaya mewujudkan situasi ‘menang-menang’ apabila penyewa atau penghuninya berasa gembira menikmati kediaman yang sihat diiktiraf sebagai kediaman tanggungjawab sosial dengan penggunaan tenaga elektrik dan air yang rendah setiap bulan.

Menteri Muda Pelancongan itu berkata, aktiviti ekonomi dijana menerusi pembinaan bangunan hijau harus memastikan peningkatan terhadap tahap ekosistem serantau.

“Dengan gabungan prinsip dan matlamat pembangunan mampan serta perniagaan hijau yang ditekankan, masyarakat semakin mendekati pemahaman terhadap konsep kelestarian.

“Justeru, syarikat pembinaan juga mula mengiktiraf peluang sedia ada menjual produk hijau serta mencerminkan budaya tanggungjawab ekologikal bermutu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi PAM Cawangan Sarawak Stephen Liew berkata sejak BTS diperkenalkan pada 2003 ia menjadi landasan pempamer terlibat untuk mempamerkan perkhidmatan dan produk terkini mereka.

Sebelum ini, katanya, ia berjaya menarik ramai pengeluar dan pembekal yang berhasrat mempamerkan produk dan perkhidmatan terkini selain menjadi peluang orang ramai dan profesional mempelajari dan mengetahui maklumat dan teknologi terkini dalam industri pembinaan bangunan.

“Ia juga sebagai usaha mempromosi budaya kehidupan hijau serta pendedahan terhadap kaedah mengekalkan kemapanan persekitaran,” katanya.

BTS yang bermula semalam hingga Ahad, 29 Mac ini boleh dikunjungi dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Lebih 100 pempamer dari kalangan pemain industri pembinaan seluruh negeri ini menyertai pameran itu.