Remaja maut angkara kecuaian orang lain

0

TERBUNUH: Mangsa meninggal dunia setelah terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat pekan Siburan, semalam.

KUCHING: Gara-gara kecuaian orang lain, seorang lelaki maut akibat dirempuh sebuah kereta selepas dikatakan tercampak dari atas motosikalnya yang sebelum itu dilanggar pemandu tidak bertanggungjawab, semalam.

Menurut sumber, mangsa Geoffry Chundang Johnson Agat, 19, semasa kejadian bersama seorang rakannya menunggang sebuah motosikal dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Duranda Emas sekitar jam 11 pagi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat pekan Siburan, motosikal mangsa dikatakan dilanggar dari belakang menyebabkan mangsa tercampak dari atas motosikal.

“Mangsa yang tercampak ke tengah jalan raya itu kemudian dirempuh sebuah lagi kereta sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepalanya,” kata sumber.

Difahamkan, pemandu kereta yang terdahulunya melanggar motosikal mangsa dikatakan melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa yang parah itu telah dibantu oleh orang ramai sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian.

Manakala, rakan mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Justeru, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi mana-maba balai polis berhampiran atau datang terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Dalam kejadian berasingan, gara-gara cuba menjaga lalu lintas, seorang wanita dikhuatiri patah tulang tangannya akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Demak di sini, pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa, 40-an dan berasal dari Jalan Rock di sini semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya apabila lori yang dinaikinya mengalami kerosakan.

Mangsa yang terpaksa menjaga lalu lintas dengan memberi amaran berkenaan kerosakan lori tersebut bagaimanapun dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil sekitar jam 9 pagi.

“Mangsa terpaksa berdiri di belakang lori tersebut dan memberi isyarat berkenaan lori mereka dan ketika itu sebuah Kancil yang dipandu seorang lelaki warga emas tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” kata sumber.

Mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian dan dikhuatiri mengalami patah tulang tangan kirinya dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Dalam satu lagi kemalangan, seorang wanita turut dikejarkan ke HUS akibat kecederaan yang dialaminya selepas keretanya terbabas di Jalan Foochow semalam.

Mangsa, 21, berasal dari Bandar Baru Samariang semasa kejadian memandu sebuah kereta sebelum dikatakan hilang kawalan kerana permukaan jalan raya licin disebabkan terdapat tumpahan minyak.

Mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudian dibantu oleh anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.