Sarawak catur strategi khas

0

Oleh Rusnan Mustafa//

BERSEMANGAT: Mawan (tengah) ditemani Karim dan Lee bersama wakil persatuan dan pertubuhan sukan di Kuching semalam.

Sasaran ditetapkan Adenan muncul juara keseluruhan SUKMA 2016 perlu dicapai

KUCHING: Sarawak sudah mula merancang strategi khas dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di sini pada 2016 nanti.

Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom berkata strategi khas itu bagi memastikan sasaran ditetapkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, Sarawak bukan sahaja sebagai tuan rumah cemerlang malah muncul juara keseluruhan pada SUKMA 2016.

“Kita merancang dan meneliti beberapa strategi khas untuk memastikan SUKMA 2016 nanti dapat meraih gelaran juara serta menjadi tuan rumah yang cemerlang pada temasya sukan berprestij itu,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas majlis penyerahan geran tahunan kepada persatuan-perstuan sukan dan pertubuhan di bawah seliaan Bahagian Belia, Kementerian Pembangunan Sosial di Dewan Kompleks Belia dan Sukan, di sini semalam.

Justeru itu, setiap atlet, pemain, jurulatih, pentadbir sukan dan pegawai peringkat persatuan sehingga kementerian mestilah bekerjasama secara efektif dan memainkan peranan berkesan dengan penuh tanggungjawab.

Mengenai persiapan SUKMA 2016, Mawan berkata, kini sedang giat dijalankan dari segi penyediaan prasarana sukan untuk venue kejohanan serta pelbagai aspek berkaitan.

Selain itu, beliau menyarankan agar persatuan-persatuan dan pertubuhan sukan mengkaji semula program dan aktiviti masing-masing supaya seiring dengan keperluan semasa.

“Usaha itu penting bagi memastikan program dan aktiviti setiap persatuan dan pertubuhan terus releven dan memberi impak besar kepada masyarakat.

“Dengan kesempatan ini, saya minta semua persatuan dan pertubuhan khususnya diibaratkan ‘hidup segan mati tak mahu’ agar mengorak langkah agresif untuk berusaha mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 59 persatuan dan pertubuhan sukan menerima geran tahunan kesemuanya berjumlah RM5.25 juta.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin.