Warga asing kelar leher dipercayai cuba bunuh diri

0

SIBU: Hasrat seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya menggunakan pisau daging tidak kesampaian.

Kejadian itu berlaku di sebuah dermaga kapal ikan, Jalan Lanang di sini sekitar jam 5.30 petang kelmarin apabila sekumpulan pekerja di lokasi berkenaan mendapati mangsa memegang sebilah pisau dan bajunya berlumuran darah.

Mereka cuba menghalang mangsa daripada terus mencederakan dirinya bertindak menghantar mangsa ke hospital menaiki sebuah kereta.

Mangsa berumur dalam lingkungan 30-an mendapat rawatan setiba di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Sibu sekitar jam 6 petang.

Semasa diperiksa, pihak hospital mendapati kecederaan dialami mangsa tidak mengena bahagian arterinya.

Mangsa kemudian dimasukkan wad, manakala polis dimaklumkan mengenai insiden tersebut pergi ke hospital menjalankan siasatan.

Siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Polis kemudian bertindak membawa mangsa ke Balai Polis Sentral di sini bagi membantu siasatan setelah keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Difahamkan punca sebenar mangsa bertindak membunuh diri selepas dimaklumkan oleh ahli-ahli keluarga dari tanah airnya bahawa isteri yang dikahwininya sejak lima tahun dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Lebih malang, isteri mangsa dikatakan mengandung tujuh bulan hasil hubungan sulit dengan lelaki itu menyebabkan mangsa gagal mengawal emosinya sehingga bertindak membunuh diri.

Mangsa direman selama 14 hari dan kes tersebut dijangka akan disiasat di bawah Akta Imigresen kerana datang ke negara ini secara tidak sah.