DAP negeri cuma lakonkan kembali sandiwara 2001: Pemuda SUPP

0

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri melakonkan kembali ‘drama’ apabila membuat pengumuman bahawa parti itu menarik diri dari Pakatan Rakyat (PR) kelmarin untuk menarik perhatian media dan orang awam hanya demi kepentingan politik, kata Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai.

Pada sidang media semalam, beliau berkata DAP Sarawak pernah menarik diri daripada pakatan tersebut pada 2001 apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkeras dalam melaksanakan undang-undang hudud, namun akhirnya tetap bersatu kembali.

Beliau turut mempersoalkan kejujuran DAP negeri dalam berkhidmat kepada rakyat apabila hanya parti peringkat negeri yang keluar daripada PR, namun DAP Pusat masih mengekalkan kerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“DAP Sarawak menarik diri daripada PR Sarawak bukan sesuatu yang baharu memandangkan ia pernah terjadi pada 2001. Tempoh 14 tahun telah berlalu dan PAS tidak pernah menukar objektif politiknya untuk melaksanakan undang-undang hudud.

“Anda menarik diri daripada PR Sarawak tetapi terus menjadi rakan di peringkat pusat. Ini adalah melucukan dan seolah-olah melakonkan drama.

“Hampir setiap surat khabar memaparkan pengumuman penarikan diri itu di muka depan, membuatkan pembaca memikirkan ia merupakan satu perkara baharu dan mereka sebenarnya melakukan sesuatu, walhal ia bukan perkara baharu,” katanya di ibu pejabat SUPP di sini.

Tan turut mempersendakan kuasa DAP dalam PR memandangkan parti itu memegang 26 kerusi Parlimen menjadikannya sebagai ‘abang,’ manakala PAS dengan 21 kerusi Parlimen adalah ‘adik’, tetapi DAP tidak dapat mengubah keputusan PAS.

“Dalam Barisan Nasional (BN), kita adalah sama tetapi dalam PR, kita dapat menyaksikan bahawa di Pulau Pinang, DAP yang memerintah manakala di Kelantan, PAS yang berkuasa manakala di Selangor, PKR melakukan perkara dengan sendiri. Bagaimana warga Malaysia dapat meletakkan harapan terhadap mereka untuk menguruskan negara?

“Dalam BN negeri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, SUPP, Parti Demokratik Progresif Sarawak dan Parti Rakyat Sarawak semua menentang undang-undang hudud kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan. Hudud bukan satu isu di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda SUPP mahu masyarakat mengetahui bahawa tindakan DAP Sarawak keluar daripada PR sebagai ‘sekadar drama,’ sambil mendakwa DAP negeri selama ini memang menyedari PAS tidak pernah mengalah dalam undang-undang hudud.

“Bagi saya, PAS keras dengan pendirian tetapi DAP negeri masih tetap bersama dengan mereka. Tiada apa yang baharu. Jika mereka terus begini, mungkin ada penarikan diri kali ketiga selepas mereka memutuskan ingin bekerjasama semula selepas ini,” katanya.

Sependapat dengan Tan, Setiausaha Penerangan Pemuda SUPP Milton Foo berkata, DAP negeri “mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab dengan mengalih fokus kepada pelaksanaan undang-undang hudud.”

Foo menekankan, apa yang menjadikannya lebih pelik ialah apabila Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen yang juga Naib Pengerusi DAP pusat dapat menampung dua kedudukan.

“Adakah anda (Chong) mengatakan enggan bekerjasama dengan PAS negeri dan menarik diri daripada PAS Sarawak tetapi sedia bekerjasama dengan PAS pusat, sebab itu anda kekal dalam PR pusat?

“PAS kebangsaan melaksanakan hudud, bukannya PAS Sarawak. Tidakkah pelik untuk menarik diri daripada PR negeri tetapi kekal di peringkat pusat? Kita mempersoalkan keikhlasan mereka dalam hal ini,” katanya.

Beliau turut memperlekehkan jemputan DAP negeri kepada parti-parti komponen BN untuk mewujudkan kerajaan baharu bersama.

“DAP telah menuduh kerajaan BN sebagai menerima rasuah dan mereka mahu mengubah kerajaan. Secara tidak langsung, mereka mengatakan semua parti-parti komponen BN rosak.

“Soalan kami, jika kita korup seperti didakwa, kenapa mereka mengajak kita menubuhkan kerajaan? Ia adalah satu penghinaan terhadap mereka sendiri dan kenyataan beliau adalah diri bercanggah. Juga, mereka sanggup meninggalkan PAS atau PKR apabila keadaan tidak memihak kepada mereka,” ujarnya.

Sambil menunjukkan laporan akhbar disiarkan beberapa bulan lalu, Foo berkata, malah mendiang bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew menyifatkan DAP sebagai oportunis.

“Lee Kuan Yew menyifatkan PR sebagai oportunis, dengan peranan utama untuk menjatuhkan BN, bukan untuk  mentadbir negara,” katanya.

Pada Jumaat, Chong berkata, DAP negeri memutuskan untuk keluar daripada PR Sarawak memandangkan tidak lagi dapat bekerjasama dengan PAS sebagai rakan politik.

Tambahnya, PAS juga telah menyimpang daripada dasar rangka kerjasama dengan meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia, dan keputusan itu ‘merupakan hasrat majoriti besar penduduk Sarawak.”