Jangan mudah terperdaya janji manis pembangkang

0

SEBUYAU: Jangan mudah terperdaya dengan janji manis dan ‘buah tangan’ oleh pembangkang yang hanya datang menjelang pilihan raya, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Julaihi Narawi.

Beliau berkata, pembangkang hanya datang menunjuk muka lima tahun sekali ke kampung-kampung bagi menarik perhatian rakyat dengan mencanang pelbagai agenda yang kononnya bakal dilaksanakan mereka.

“Menjelang pilihan raya maka kita melihat beberapa ahli pembangkang datang membawa rakan-rakan mereka dari Semenanjung Malaysia yang dikatakan menyampaikan bantuan kepada penduduk di sini.

“Mereka datang ke kawasan luar bandar seperti Sebuyau membawa ‘buah tangan’ iaitu bantuan kebajikan kecil-kecilan, sumbangan beras, gula dan sebagainya.

“Mereka menyatakan bahawa mereka akan membawa pembangunan di kawasan yang mereka lawati, menyediakan bantuan asas tetapi hanya untuk menambat hati rakyat semasa pilihan raya.

“Saya menasihati penduduk jangan mudah terperdaya dengan mereka ini,” katanya pada Penutupan Program MEMBARA ‘Malaysia Pilihanku’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Cawangan Sebuyau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tungkah Melayu, Sebangan di sini semalam.

Julaihi yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, berbanding Barisan Nasional (BN) sentiasa menunaikan janji dan tidak pernah menghampakan rakyat.

“BN berusaha melakukan sesuatu untuk rakyat seperti yang dijanjikan, namun jika kita tidak mempunyai peruntukan kita juga tidak akan memberi harapan kepada rakyat,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, kerajaan membina masjid baharu kepada penduduk Kampung Tungkah Melayu dengan kos pembinaan dianggarkan bernilai RM800,000.

Beliau menegaskan, di Selangor yang dipimpin pembangkang mereka bukan mahu mentadbir kerajaan tetapi lebih kepada bergaduh sesama sendiri sehingga pucuk kepimpinan kerajaan mereka bertukar ganti.

Justeru, jika mereka tidak mampu mentadbir negeri seperti Selangor hanya memiliki tiga kaum utama, bagaimana dengan Sarawak yang bukan sahaja luas tetapi mempunyai 30 kumpulan etnik.

“Justeru kita berharap penduduk luar bandar tidak terperdaya dengan janji kosong pembangkang,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sejumlah RM10,000 bagi aktiviti ahli jawatankuasa masjid Kampung Tungkah Melayu yang diterima pengerusinya, Tihi Bujang.

Turut hadir Pegawai Tabdir Daerah Kecil Sebuyau Ajis Ahmad, Pegawai Agama Sosial JASA Samarahan, Muhamad Nurhamizan Hamid dan Ketua Kaum, Rahman Enggoi.