Jasa perwira Operasi Semut Bario dikenang

0

Oleh Sudan Ajang Gambar Dr Roland Dom Mattu //

ALBUM: Jack (duduk tengah) diapit oleh Stephen (kiri) dan Isaac (kanan) bersama tetamu lain merakamkan gambar kenangan dengan latar belakang bendera lima negara yang menyertai ‘Allied Forces’ iaitu New Zealand, United Kingdom, Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.

TARIKH 25 Mac lalu begitu bermakna bagi penduduk Bario kerana pada tarikh itu ‘Allied Forces’ yang diketuai Major Tom Harrisson dan Operasi Semut Bario yang diketuai penduduk Kelabit bermula bagi menentang tentera Jepun sekali gus menjurus kepada pengakhiran Perang Dunia Kedua, 70 tahun lalu.

Bagi memperingati ulang tahun peristiwa tersebut, satu majlis bercorak ketenteraan bagi menghormati perjuangan itu diadakan julung kali di Bario pada Rabu lalu.

Majlis tersebut dihadiri Sarjan Jack Tredrea, 95, satu-satunya ahli Operasi Semut Bario yang masih hidup, ahli keluarga dan anak rakan beliau, mendiang Sarjan Fred iaitu David Sanderson dan kira-kira 200 tetamu jemputan terdiri daripada wakil tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk di sekitar Bario Asal.

Hadir sama Panglima 1 Divisyen Baharu Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan anggota tentera, Presiden Rurum Kelabit Sarawak, Datuk Isaac Lugon dan ketua masyarakat Kelabit di Bario Asal.

ANUGERAH: Dr Roland dan Jack bergambar bersama anugerah masing-masing.

Jack dan rombongan telah disambut oleh hos majlis, Dr Roland Dom Mattu iaitu cucu ketua kampung, mendiang Penghulu Lawai Besara yang merupakan orang pertama menyambut kedatangan Tom Harrison dan pegawai ke rumah panjang.

Dr Roland ketika ditemui berkata, ia merupakan pengalaman yang begitu emosi bagi Jack memandangkan ramai rakan seperjuangan beliau tumpas semasa operasi tersebut.

“Ini merupakan pertama kali kita mengadakan majlis penghormatan ketenteraan walaupun Jack sebenarnya sudah melawat Sarawak dan Bario sebanyak empat kali,” katanya.

Majlis tersebut dimulakan dengan upacara sembahyang dan ucapan alu-aluan oleh Isaac mewakili kaum Kelabit dan kaum Dayak di Borneo diikuti ucapan Stephen dan Jack.

Majlis itu diteruskan dengan meletakkan kalungan bunga dan menaikkan lima bendera ‘Allied Forces’ manakala pada sebelah petang majlis menyambut tetamu bagi mengimbas kenangan penduduk kampung menyambut ketibaan Tom Harrison.

Sementara itu, Jack memberitahu, sebelum menyertai operasi tersebut, beliau telah bersumpah untuk tidak mendedahkan maklumat selama 30 tahun.

Beliau berumur 25 tahun ketika menyertai operasi itu bersama askar British dan Australia.

Stephen dalam ucapannya berkata, upacara ini amat signifi kan sebagai memperingati perjuangan ‘Allied Forces’ dan penduduk kampung yang sanggup bergadai nyawa menentang penaklukan tentera Jepun pada masa itu.

HORMAT: Anggota tentera memberi tabik hormat kepada pegawai Operasi Semut Bario.