Kerajaan sentiasa gigih salur pembangunan kepada rakyat

0

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, selaras pembangunan pesat melanda  masa kini, kerajaan berusaha dengan gigih  membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat negeri ini.

Harden menjelaskan, usaha itu dilihat melalui pelbagai program pembangunan telah, sedang dan giat dilaksana kerajaan negeri untuk manfaat serta kesenangan rakyat.

Bagaimanapun katanya, usaha pembangunan kerajaan sukar dicapai dengan berkesan jika rakyat tidak memanfaat sepenuhnya segala peluang atau kemudahan pembangunan disedia  kerajaan.

“ Keadaan ini sudah tentu akan merugikan kita semua dan boleh membantut kelicinan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika berucap semasa merasmikan Program Membantu Rakyat (MEMBARA) Malaysia Pilihanku anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman bertempat di Rumah Bandi, Sebangkoi Paku Undop di sini pagi semalam.

Sehubung itu jelas Harden, rakyat tidak boleh lagi bersikap berpeluk tubuh dan hanya mengharap segala bantuan atau subsidi kerajaan sahaja.

“Sebaliknya, kita perlu berdikari, mempunyai inisiatif dan merebut segala peluang disedia dalam sektor perindustrian, perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perladangan, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya.

Kata Harden, rakyat berupaya memahami dan menerimas perubahan termasuk idea baharu dengan mengubah cara berfikir dan bekerja supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan yang semakin pesat.

“Lebih-lebih lagi rakyat harus mempersiap diri dengan pengetahuan kemahiran mencukupi mulai sekarang ke arah merealisasi wawasan negara mencapai status negara maju menjelang 2020 kelak,” katanya.

Harden merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Sarawak menjelaskan dalam menghadapi era globalisasi ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, usaha meningkatkan Komunikasi Pembangunan menjadi semakin penting dengan muncul kehendak membina masyarakat berilmu berinformasi atau K-Society.

“Justeru, kuasa berfikir masyarakat dan kebolehan melakukan inovasi perlu diberi penekanan agar mereka mampu untuk bersaing dan menghadapi cabaran sosioekonomi masa kini.  Dengan cara ini, kita dapat menimbul kesedaran, mengubah sikap dan pemikiran, memberangsangkan masyarakat  membina untuk mencintai ilmu,” katanya.

Jelasnya, penyebaran maklumat pembangunan ini sentiasa menjadi agenda utama kerajaan yang disalur melalui jabatan dan agensi pembangunannya.

Katanya, kemantapan dan keberkesanan usaha penyebaran maklumat ini menjadi lebih baik jika ia dilakukan secara bersepadu melibatkan pelbagai pihak seperti pemimpin masyarakat, pihak swasta, pihak media dan pertubuhan sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama Pegawai JASA Bahagian Sri Aman, Whelthon Lumpoi, Pegawai Bomba Sri Aman, Jilin Itar, Wakil Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, Chana Langkan, Penghulu Micheal John Sanggop serta ketua jabatan kerajaan serta ketua masyarakat yang lain.

Pada majlis itu, Harden  menyalur sebanyak 20 unit kipas angin kepada rumah panjang ini, peralatan untuk Biro Wanita.

Harden turut mengumum peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Biro Wanita dan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Bandi untuk tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.