Mangsa banjir Engkilili nyata gembira terima wang ihsan

0

ENGKILILI: Penduduk terlibat banjir kawasan Kejemut, Langkang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tebat di sini merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada wakil rakyat mereka kerana berjaya melulus wang ihsan banjir baru-baru ini.

Beberapa penduduk memberitahu, banjir melanda kawasan mereka sejak bulan Januari sehingga awal Mac ini memberi kesan cukup mendalam menyebabkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpanggil membantu sambil menghulur wang ihsan kepada mangsa banjir di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong hadir untuk menyampai wang ihsan itu kepada 46 penduduk terlibat banjir kerana majlis penyerahan wang ihsan mangsa banjir  berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Lubok Antu/Engkilili (MDLA/E) dekat sini pagi semalam.

Salah seorang penerima bantuan itu, Utih Karong berkata, bantuan disalur MKN itu merupakan satu berita baik bagi mereka kerana ia membantu membangunkan semula apa yang rosak akibat banjir berkenaan.

Salah seorang lagi penerima bantuan, Thomas Layan berkata, Dr Rayong wakil rakyat cukup prihatin terhadap rakyat di kawasan  dan beliau berjaya menyelesai masalah rakyat terutamanya bagi mereka menerima bantuan ini.

Bagi Utih, banjir  merupakan satu pengalaman sukar untuk dilupakan  kerana kebanyakan penduduk kehilangan harta benda dan wang disalur akan diguna untuk membangun semula apa yang hilang.

Manakala Banyie Rawing pula berkata, beliau melahirkan perasaan terharu dan berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan kerajaan menyalur bantuan dan kepada Dr Rayong, beliau melakukan tugas terbaik untuk rakyatnya di Engkilili ini.

Dr Rayong ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan berkata, penduduk Engkilili  seringkali terlibat bencana banjir ini dan harus mengambil serius perkara itu dengan berpindah ke tempat lebih tinggi dan lebih selamat.

“ Kita tidak gerenti bahawa banjir buruk berlaku seperti bulan lepas tetapi ia boleh berlaku pada bila bila masa di kawasan anda. Sebagai wakil rakyat di kawasan anda, saya tidak mahu benda yang sama akan berulang lagi,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat serta Setiausaha Sulit kepada ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, Joseph Nyalau.

Dalam pada itu, setiap penerima bantuan menerima wang bantuan ihsan sebanyak RM500 seorang.