Pesta Kaul Kpg Sungai Ud tradisi Melanau

0

MUKAH: Pesta Kaul Kampung Sungai Ud diadakan setiap tahun adalah sebagai acara tradisi kaum Melanau yang diwarisi  zaman dahulu lagi.

Majlis perasmian Pesta Kaul Sungai Ud disempurnakan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah merangkap ADUN Dalat di Balai Raya Kampung Sungai Ud, di sini semalam.

Beliau berkata, Pesta Kaul tersebut adalah memberi pendedahan dan pengetahuan kepada golongan muda terutamanya mengenal erti kaul sebenar.

“Seperti yang dapat kita lihat sendiri, kaul diadakan setiap tahun malah dari zaman-berzaman lagi dan mempunyai perbezaan dan perubahan mengikut perkembangan semasa.

“Namun, golongan muda perlu tahu erti kaul dan diterapkan dengan nilai-nilai bermakna dan sebagai salah satu cara untuk berterima kasih dan mempermudah segala rezeki serta mengelak gejala penyakit,” katanya.

Fatimah berkata, kaul diibaratkan sebagai ‘hari keluarga’ dan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur bersama-sama berkumpul memeriahkan suasana itu.

“Golongan kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun tua dapat bersama-sama berkumpul khususnya melalui aktiviti yang dianjurkan.

“Melalui aktiviti itu dapat dijadikan sebagai warisan sekali gus meluangkan masa bersama-sama keluarga melalui Pesta Kaul,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fatimah menggesa masyarakat di sini mendaftar sebagai pengundi bagi layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Kita pasti dan tunjukkan pada PRN akan datang bahawa daerah Dalat merupakan salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, saya menggesa terutamanya golongan muda yang layak sebagai pengundi segera mendaftar,” katanya.

Turut hadir wakil KPD Dalat Inspektor Mohd Noor Ishak, Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.