SFC rampas lebih 1,000 tiang bakau di Telaga Air

0

KUCHING: Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyerbu premis pengendali tanur arang yang terletak di Jalan Baru, Telaga Air semalam.

Menurut kenyataan akhbar pejabat Ketua Pegawai Eksekutif SFC, lebih daripada 1,000 tiang bakau yang mana royaltinya dipercayai tidak dibayar dirampas dalam serbuan itu.

“Selain tiang bakau dianggarkan melebihi 10 tan itu, turut disita ialah dua unit perahu, dua unit gergaji dan dua unit enjin sangkut dipercayai digunakan dalam pengekstrakan haram tiang bakau dari tebing sungai berdekatan.

“Pasukan penguatkuasaan kami juga mengambil keterangan daripada penyelia tanur arang (tempatan) dan dua pekerja asing yang disyaki terlibat dengan pengekstrakan haram kayu bakau untuk digunakan sebagai kayu api,” katanya.

Barang yang disita dan kenyataan yang direkodkan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang menyokong pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar untuk melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mencurigakan mengenai pemerdagangan hidupan liar, pembalakan haram yang berlaku di kawasan mereka kepada pihak berkuasa.

Jabatan Hutan Sarawak boleh dihubungi di kawasan yang berbeza melalui talian hotline berikut, Kuching 019 8859996, 019-8290994 Miri, Bintulu dan Sibu 019-8266096, 019-8290992.