SSNS pamerkan keajaiban

0

Oleh Mahathir Haroun //

Anak didik Ahmad membelasah SSMP 6-1 pada saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM B17

KUCHING: Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSNS) mempamerkan keajaiban mereka apabila membelasah Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan 6-1 pada saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM (bawah 17 tahun) di Stadium Mini Tabuan Jaya, di sini petang semalam.

Pesta jaringan SSNS bermula seawal minit keenam apabila Abednego Ujang menjaringkan gol pertama.

Seminit selepas itu, gawang SSMP bolos lagi menerusi jaringan cantik Wan Badzreen Wan Yusuf.

Wan Badzreen sekali lagi mempamerkan kecemerlangannya apabila meledak jaringan ketiga SSNS pada minit ke-23.

Minit ke-30, menyaksikan pasukan pelawat menjaringkan gol sagu hati menerusi Muhd Adib Hakimi Mohd Sabri.

Bagaimanapun, pemain SSNS – Gibson Billy turut mencur i tumpua n penyokong tuan rumah apabila meledakkan dua jaringan pada minit ke-33 dan minit ke-35.

Justeru itu, Wan Badzreen akhirnya menjaringkan gol hatrik apabila menjaringkan gol keenam pada minit ke-63.

Jurulatih SSNS, Ahmad Nurfaizal Patrick melahirkan rasa gembira selepas pasukannya mencipta kemenangan kedua berturut- turut dan sebelum ini menggalahkan Sekolah Sukan Negeri Selangor dengan 1-0.

“Saya ternyata amat gembira kerana pasukan muda kita dapat mengalahkan pasukan kuat seperti SSMP dengan jaringan besar.

“Keputusan ini memang tidak dijangka kerana SSMP menghimpunkan ramai pemain muda berbakat dari seluruh negara,” katanya ditemui selepas perlawanan petang semalam.

Keputusan sebelum ini menyaksikan SSNS tewas kepada Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil di atas padang rumput tiruan dengan 3-0.

Nasib berbeza menimpa pasukan SSNS pada aksi Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia (bawah 14 tahun) apabila diaibkan dengan jaringan 6-0 oleh SSMP.

Sepak mula perlawanan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Abang Mat Ali Abang Masagus.