Sukan beri impak positif masa depan pelajar: Len

0

SARIKEI: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal), Datu Len Talif Salleh berkata bidang sukan adalah bidang kian diminati generasi muda.

Katanya, peluang seperti itu wajar dimanfaatkan golongan yang minati dan mempunyai kebolehan dalam bidang itu dijadikan kerjaya memberi impak positif dan menjamin masa depan yang cemerlang.

“Bidang sukan mempunyai banyak peluang dan ruang yang boleh digunakan oleh golongan yang berminat dan kebolehan untuk memajukan diri kerana mempunyai pasaran kerjaya begitu luas.

“Masyarakat tidak seharusnya memandang bidang sukan dari satu sudut dan aspek sahaja.

“Pandangan tersebut wajar diperluas kepada semua sudut melibatkan bidang itu dan jangan mengekang pada satu pandangan sahaja,” katanya pada Penangguhan Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Sarikei di sini kelmarin.

Menurut Len, bidang sukan mempunyai skop begitu luas dan pelbagai peluang boleh dijadikan sesiapa sahaja mampu mengintai peluang untuk memajukan diri.

“Apa yang penting kita menggunakan segala daya kretif, azam dan kebijaksanaan memanfaatkan setiap peluang yang ada sebagai landasan mencapai kejayaan,” jelasnya.

Tambahnya, pelajar di luar bandar masih memerlukan banyak kemajuan dan suntikan semangat terutamanya dari aspek kemudahan infrastruktur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai itu berkata, sukan merupakan landasan pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah bagi setiap pelajar sekolah rendah dan menengah ke arah mencapai keseimbangan bidang akademik dan kokurikulum.

Menteri Muda Alam Sekitar itu menyifatkan semua aspek perlu dipupuk secara beriringan, penganjuran sukan Pribumi Sarawak diharap dapat melahirkan bakat-bakat mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya berharap agar suatu hari nanti, program ini dapat mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan dan menjadi idola atau ikon muridmurid yang lain,” katanya.

Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Julau 2 muncul juara keseluruhan, naib juara SMK Julau dan SMK Bandar Bintangor (ketiga).

Manakala kategori sekolah rendah tempat pertama dimenangi daerah Julau, kedua Meradong dan ketiga Sarikei.