Tiada veteran tentera harus tercicir pengiktirafan

0

Persatuan ditubuh untuk menjaga kebajikan, capai kumpulan sasaran khasnya di luar bandar: Dawos

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Tidak ada seorang pun wira atau veteran perang yang harus tercicir dalam menerima pengiktirafan dan bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Justeru, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Dr James Dawos Mamit berkata, persatuan-persatuan yang menjaga kebajikan bekas tentera ditubuhkan untuk menyokong usaha kerajaan dalam mencapai kumpulan sasaran tersebut.

“Pesara (tentera) tidak harus dilupakan begitu sahaja, sebaliknya mereka yang menyumbang bakti kepada raja dan negara ini harus diberi pengiktirafan dan bantuan sewajarnya.

“Oleh itu, inisiatif untuk menubuhkan persatuan khasnya di kawasan luar bandar amat dialu-alukan bagi mencapai kumpulan sasaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia kepada pesara tentera di Dewan Saint Paul Parish Bunuk di Jalan Puncak Borneo dekat sini, semalam.

Hadir sama Penglima Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak Lt Kol Monday Juhid, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Spencer Birai dan Ketua Cawangan PVATM Mambong Anon Atek.

Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong turut menyeru bekas tentera untuk terus menabur bakti dengan memastikan kampung mereka bebas daripada pengaruh tidak baik dari luar.

“Penekanan PVATM bukan sahaja dalam mengeratkan hubungan sesama ahli tetapi turut menjaga keselamatan agar jenayah tidak terus berlaku di kawasan kita,” katanya.

Sementara itu, Stephen yang merupakan anak Dayak pertama yang menyandang jawatan tersebut mengucapkan tahniah kepada 20 bekas tentera yang menerima Pingat Jasa Malaysia, semalam.

“Saya percaya kerajaan tidak akan melupakan jasa-jasa bekas tentera. Kepada penerima, pakai pingat tersebut dengan bangga kerana ia merupakan satu pengiktirafan atas jasa-jasa anda sekalian,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menyeru bekas tentera yang belum mendaftar dengan sebarang persatuan agar tampil ke mana-mana cawangan atau kem-kem tentera berhampiran untuk mendaftar sebagai ahli.

“Dengan itu, kita dapat mengesan dan mengemas kini maklumat mereka atau balu dan mengenal pasti sesiapa yang memerlukan bantuan,” katanya.

Stephen turut menyeru ahli-ahli persatuan agar mencari rakan-rakan yang belum mendaftar sebagai ahli.

“Secara keseluruhan ramai yang sudah maju dan berjaya setelah bersara. Tetapi ada yang tidak bernasib baik.

“Mereka yang tidak bernasib baik itulah yang perlu kita bantu kerana kita merupakan satu kompeni besar yang akan terus hidup sebagai satu kumpulan dengan semangat setia kawan,” katanya.

Antara penerima PJM ialah Kpl Sabak Taod, PWII Simud Salleh, Kpl Joni Ranois, Kpl Pari Dawing, LKpl Jites Dongai, PWII Durit Moteng, Rjr Jerin Siel, LKpl Nasek Anyek, Sjn Michael Rano Rindas, LKpl Ragie Jamuang, Kpl Gordion Sajod, Kpl Layau Belili, Tpr Mamai Dawing.

Pingat dianugerahkan kepada bekas pejuang yang telah meninggal dunia seperti Rjr Tasan Mijad, Rjr Mail Tanjong, SSjn Arit Saker, Kpl Pinye Oran, Rjr Jerega Ninju, Kpl Lai Chun Min dan Kpl Lewis Siyong pula disampaikan kepada balu masing-masing.

Majlis turut menyaksikan Dawos memperuntukkan geran sebanyak RM10,000 kepada PVATM Mambong.