Wanita China ditahan polis meninggal dunia di hospital

0

LAPOR POLIS: Suami mangsa menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan isterinya.

Mangsa, suami sering datang ke Sibu sejak 10 tahun lalu

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Seorang pelancong wanita warga China yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes tipu pada Khamis lalu meninggal dunia di Hospital Sibu semalam.

Mangsa dikenali Leong Ai Tin, 63, berasal dari Wilayah Fujian datang ke bandar ini bersama suaminya, Yi Jian Long, 61, dikatakan menginap di sebuah hotel bajet di Jalan Kampung Nyabor.

Menurut sumber, pasangan tersebut sering pergi balik dua hingga tiga kali setahun ke bandar ini sejak 10 tahun kebelakangan ini dan menginap hotel sama di sini.

Pada 26 Mac lalu, mangsa yang mempunyai kepakaran dalam bidang fengshui memberitahu suaminya bahawa beliau ingin pergi ke sebuah pasar raya, Jalan Salim sekitar jam 8 pagi.

Namun, suaminya membuat laporan polis selepas isterinya gagal pulang ke bilik penginapan mereka pada malam itu sehingga laporan polis dibuat jam 10.41 malam.

Pada keesokan pagi, mangsa dibawa ke mahkamah dan direman tiga hari bagi membantu siasatan polis berhubung satu kes tipu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa, seorang penghidap sakit jantung dan pernah menjalani pembedahan jantung tiga tahun lalu dipercayai pengsan ketika proses siasatan dijalankan.

Menurut pihak hospital, mangsa digegaskan ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu oleh polis jam 6.30 petang.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital semasa berada dalam rawatan pada jam 9 malam.

Sejurus selepas itu, polis pergi ke hotel penginapan mangsa memaklumkan berita kematian itu kepada suami mangsa.

Sehubungan itu, suami mangsa meminta bantuan pemilik hotel penginapan itu untuk mengiringinya mendapatkan penjelasan polis berhubung punca kematian isterinya.

Kali terakhir pengadu menghubungi isterinya jam 3 petang semasa mangsa berada di pasar raya, Jalan Salim.

Suami dikatakan cuba menghubungi isterinya sekali lagi tetapi tidak dijawabnya sejam kemudian.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Bajet Hotel di sini telah menghubungi Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo untuk mendapat penjelasan berkenaan kematian isteri pengadu.

Difahamkan, Martin telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.

Sehubungan itu, ahli keluarga termasuk anak-anak dan saudara mangsa dari tanah air dijangka tiba di sini untuk pengurusan mayat mangsa.

Wakil Konsulat China akan mengiringi mereka untuk mengikuti perkembangan siasatan kes tersebut.