Bazar Seni Sarawak, Kalendar Aktiviti Seni Budaya JKKN 2015 dilancarkan

0

KUCHING: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak secara rasminya melancarkan Bazar Seni Sarawak dan Kalendar Aktiviti Seni Budaya 2015 yang mengandungi 75 program sepanjang tahun di negeri ini, malam kelmarin.

Berlangsung di pekarangan Bangunan Mahkamah Lama di sini, majlis pelancarannya disempurnakan oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.

Hadir sama Pengarah JKKN Sarawak Salehhuddin Md Salleh serta Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Sarawak) Suriya Charles Buas.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan oleh artis budaya JKKN Sarawak, kumpulan CARMA, SMK Green Road Drumline, Nicholas Ho, Siti Hajar Hashim dan Siti Nursafinah Jamil.

Salehhuddin menerusi kenyataan akhbarnya mengajak orang ramai untuk terus memeriahkan Bazar Seni Sarawak 2015 di pekarangan Mahkamah Lama, Tebingan Kuching bagi menyaksikan karya seni tempatan dan persembahan kebudayaan.

Menurutnya, program itu dilaksanakan secara berkala setiap bulan bagi membuka ruang kepada penggiat dan pengusaha produk berasaskan seni budaya mempamer serta memasarkan produk mereka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi hingga 10 malam selama dua hari.

Ia dilaksanakan bersama oleh Persatuan Penggiat Seni Malaysia Kuching, Sarawak Incorporated, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Sarawak, Tourism Malaysia dan Aixtra Sdn Bhd.

“Bazar Seni Sarawak selari dengan inisiatif kerajaan membina industri kreatif negara yang kukuh dan menyumbang kepada ekonomi pengusaha seni tempatan secara berterusan.

“Pengwujudan ruang persembahan pula bagi menggalakkan penggiat untuk berkreatif dan bereksperimen agar dapat meningkatkan kualiti dan disiplin,” katanya.

Kebanyakan pengisian persembahan di bazar tersebut melibatkan persembahan kebudayaan di pentas rakyat melalui pelbagai persembahan tarian, nyanyian, kuiz interaktif, pameran, jualan dan demonstrasi.

Mereka yang terlibat adalah seperti Kumpulan Kesenian Jabatan JKKN Sarawak, NGO, Sekolah Seni, Kelab Kebudayaan, Persatuan Seni dan orang ramai yang ingin menyerlahkan bakat.

Antara acara menarik ialah pertandingan ‘Bazar Seni Idol 2015’, pertandingan melukis untuk kanak-kanak, persembahan teater jalanan, papan selaju (skate boarding), ‘stomping’, ‘busking’ dan kuiz interaktif untuk pengunjung.

Dalam pada itu, melalui Kalendar Aktiviti Seni Budaya 2015, JKKN Sarawak bakal menjelajah seluruh negeri melalui Program Merakyatkan Seni (PMS) di Lawas, Bintulu, Kapit, Bario, Sarikei, Kota Samarahan, Sematan, Saratok, Santubong dan Kuching.

Selain itu, 75 program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan kerajaan negeri, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, persatuan usahawan tempatan, badan sukarela belia wanita seperti PUSPANITA dan Usahanita serta persatuan pelancongan.

Program itu bertujuan mendekatkan penduduk tempatan dengan pelbagai acara kesenian dan kebudayaan serta menghidupkan kembali adat masyarakat tempatan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Selain itu, JKKN Sarawak pada tahun ini turut mengiktiraf tokoh seni tempatan melalui program Anugerah Seni Budaya Negeri yang akan diadakan pada September nanti.

Anugerah itu bakal menjulang tokoh-tokoh seni Sarawak yang menyumbang kepada pembangunan kesenian di negeri ini.

Sementara itu, JKKN Sarawak turut menganjurkan acara keilmuan seperti Sidang Keilmuan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Seminar Pemantapan NGO Seni Budaya, Pertemuan NGO, Kem Sukarelawan dan Kem Sosiobudaya.

Di samping itu, JKKN Sarawak juga mengadakan persembahan kebudayaan secara berkala bersama Sarawak River Cruise setiap minggu dan berlayar sambil menikmati panorama bandar raya Kuching.

Program itu dilihat mampu memberi impak positif kepada perkembangan industri pelancongan kerana berjaya menarik jumlah kehadiran pelancong tempatan dan luar negara menyaksikan sendiri keunikan kebudayaan Bumi Kenyalang.

Sempena ‘Year of Festival 2015’, JKKN Sarawak turut melancarkan slogan baharunya iaitu ‘Seni & Budaya: Dekat Di Hatimu!’ atau ‘Art & Culture: Close To Your Heart!’.