Britain akan bantu program pemulihan pascabanjir M’sia

0

Beberapa pakar dihantar ke Kelantan, kongsi pengetahuan

KOTA BAHARU: Kerajaan Britain akan menghantar pasukan untuk membantu Malaysia melaksanakan cadangan bagi program pemulihan pascabanjir, kata Kaunselor Dasar Luar dan Keselamatan di Suruhanjaya Tinggi Britaindi Malaysia, Nikesh Mehta.

Beliau berkata kerajaan Britain telah menghantar beberapa pakar ke Kelantan untuk berkongsi pengetahuan tentang bagaimana mereka menangani banjir pada 2013 dan 2014.

“Saya gembira bahawa kami dapat membawa pakar-pakar kami ke Kelantan untuk berkongsi pengetahuan mereka. Pada masa depan, Suruhanjaya Tinggi Britain mungkin boleh mengetuai pasukan di sini dan membantu melaksanakan cadangan-cadangan.

“Sudah tentu, terserah kepada kerajaan Malaysia untuk memutuskan tentang bagaimana ia akan dilaksanakan, dan kami bersedia membantu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbincangan Meja Buat Mitigasi Banjir Efektif Di Kelantan, di sini semalam.

Turut hadir Dr Azuhan Mohamed, Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Tebatan Banjir, Unit Pemulihan Pasca Banjir di Jabatan Perdana Menteri dan Ng Yeen Seen, pengasas Ops Harapan.

Ops Harapan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Britain untuk mengumpul dana daripada syarikat-syarikat Britain di Malaysia bagi membawa pakar daripada United Kingdom (UK) untuk menjalankan penyelidikan mereka di sini.

“Masyarakat Britain telah merayu bagi dana itu di bawah program #UKMYunite dan kami berjaya mengumpul banyak wang bagi program pemulihan pascabanjir. Kami juga menerima sumbangan daripada Kementerian Hal Ehwal Luar (Britain)”.

Nikesh berkata program pemulihan pascabanjir itu melibatkan dua peringkat.

“Bagi peringkat pertama, kami akan menilai keadaan di tempat terjejas dan dapatkan pandangan pakar kami. Mereka juga akan berkongsi pengalaman mereka dan memberi nasihat tentang apa yang akan berlaku.

“Dalam peringkat kedua barulah Ops Harapan, Unit Pemulihan Pasca Banjir, agensi-agensi negeri dan persekutuan yang relevan akan melaksanakan cadangan-cadangan”.

Pakar bencana UK berkenaan berada di sini selama dua hari bagi menghadiri perbincangan meja bulat itu, termasuk dua pakar daripada syarikat kejuruteraan CH2M Hill dan HR Wallingford.

Mereka ialah Mike Cope (CH2M Hill), Geoff Wilson (HR Wallingford) dan Nick Weight daripada pejabat Meteorologi UK. — Bernama