Geng tong gas tumpas, lima suspek ditangkap

0

BAHAN KES: Peti besi dirampas bersama kereta jenis Perodua Kancil yang ditemui di rumah salah seorang suspek Geng Tong Gas.

MARUDI: Polis di sini percaya mereka telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang berlaku di sini sejak beberapa minggu lepas selepas tertangkapnya lima lelaki termasuk seorang juvana berusia 16 tahun, di sebuah rumah di sini, pada pagi 27 Mac lalu.

Penangkapan kelima-lima suspek digelar Geng Tong Gas itu berjaya dilakukan dalam satu serbuan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Marudi, diketuai DSP Ruslan Mat Kip yang dilakukan pada jam 9 pagi di sebuah rumah di Kampung Cina di sini.

Hasil pemeriksaan polis ke atas rumah berkenaan juga menemui beberapa barang dipercayai barang curi, antaranya sebuah peti besi dilaporkan dicuri dari kediaman pemilik di sini.

Menurut pemiliknya, di dalam peti tersebut terdapat pelbagai dokumen penting termasuk wang tunai dan barang kemas.

Bagaimanapun polis hanya menemui dokumen penting manakala barang kemas dipercayai telah dijual dan wang tunai RM300 dalam peti besi berkenaan juga lesap.

Semua barang yang dirampas telah dibawa ke Balai Polis Marudi untuk dijadikan sebagai bukti kes.

Ketua Polis Daerah Baram (KPD) DSP Jaimi Hussein mengesahkan penangkapan dan penemuan barang curi tersebut.

“Sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah turut dirampas oleh pihak polis sebagai bahan kes,” katanya.

Sementara kelima-lima suspek berumur antara 16 hingga 36 tahun telah diperintah reman selama empat hari oleh Makhamah Majistret di sini bermula Jumaat lepas.

“Meskipun berjaya menangkap semua suspek Geng Tong Gas ini yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes pecah rumah di kawasan perumahan Taman Dah Yuh, Jalan Kapitan Aba, Kampung Cina dan sekitar pekan ini, kita percaya masih ada saki-baki kumpulan atau rakan subahat  mereka berada di luar sana.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan terus memburu ahli geng lain, jika siasatan menunjukkan masih ada lagi rakan mereka masih bebas,” katanya.

Sehubungan itu, Jaimi merayu kepada orang awam di sini supaya sentiasa memberi kerjasama dan tampil ke hadapan jika mereka mempunyai maklumat kes terutama membabit Geng Tong Gas berkenaan, bagi melancar usaha polis memerangi jenayah dilakukan ahli geng dan  penjenayah lain.

Katanya maklumat disalur oleh orang awam akan dirahsia termasuk pemberi maklumat tersebut.