GST: Belum ada peniaga naik harga barang

0

Jangan panik dengan dakwaan bahawa beberapa peniaga sudah mengenakan GST

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak setakat semalam belum menerima sebarang aduan berhubung peniaga menaikkan harga barang sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April depan.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarahnya Abd Hafidz A. Rahim menasihati orang ramai di Sarawak agar tidak panik dengan dakwaan sesetengah pihak dalam media sosial yang mendakwa beberapa peniaga di negeri ini sudah mengenakan GST.

Menurutnya, peniaga yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga barang di sebalik pelaksanaan GST boleh dikenakan tindakan di bawah Akta GST 2014.

Beliau menambah, sekiranya peniaga didapati mengambil untung berlebihan pula tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan boleh dikenakan terhadap mereka.

“Setakat hari ini (semalam) kami masih belum menerima sebarang aduan berhubung perkara ini.

“Kami memang ada menerima maklumat mengenai peniaga menaikkan harga barang di negeri lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa peniaga di negeri ini mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sebelum pelaksanaan GST.

Abd Hafidz yang juga ketua penguat kuasa KPDNKK Sarawak menjelaskan, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai peniaga menaikkan harga sesuka hati, buat aduan menerusi [email protected].

“Apabila aduan sudah dibuat, kita akan ajukan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, KPDNKK Sarawak akan melancarkan operasi yang akan disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2 dan 3 April ini.

“Kami mempunyai 162 pegawai yang akan dikerahkan untuk mengikuti operasi bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Ghee Yong Holdings Temenggung Lu Kim Yong berkata, kebanyakan peniaga motosikal di negeri ini memahami konsep pelaksanaan GST selepas beberapa siri seminar diadakan.

Beliau yang juga naib presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) menjelaskan, GST juga tidak mempengaruhi harga kebanyakan jenis motosikal.

“Kebanyakan peniaga motosikal sudah mempunyai gambaran jelas mengenai pelaksanaan GST.

“Apa yang pasti harga motosikal tidak akan naik secara mendadak hanya disebabkan pelaksanaannya (GST),” kata Lu.