Kerajaan terus sedia fasiliti asas kepada penduduk Mas Gading

0

LUNDU: Kerajaan akan terus menyediakan fasiliti asas seperti jalan, air dan elektrik kepada rakyat terutama melibatkan penduduk di kawasan Mas Gading.

Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh Gumbek berkata, usaha itu akan diteruskan sehingga setiap penduduk Mas Gading menikmati tiga fasiliti asas itu.

“Memang benar kita tidak mampu menyediakan fasiliti ini dalam masa sehari atau setahun.

“Tetapi, kerajaan akan tetap meneruskan usaha ini sehingga setiap rakyat di negeri ini dapat menikmati fasiliti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Jerayawara Institut Memandu Kota Gading (IMKG) di pekan Lundu semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai pembangunan di Mas Gading, Nogeh berkata 90 peratus daripada jalan raya di kawasan berkenaan telah diturap kecuali jalan menuju ke Kendaie.

Bagaimanapun Nogeh yakin kerajaan pasti akan menurap jalan itu jika terdapat peruntukan.

“Jalan ini pasti akan diturap apabila kerajaan mempunyai peruntukan tetapi untuk Rancangan Malaysia Kesebelas keutamaan saya adalah melobi pembinaan jambatan Kampung Selampit,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nogeh turut memberitahu bahawa hampir keseluruhan penduduk Mas Gading telah menikmati bekalan elektrik.

“Dari segi bekalan elektrik, hampir semua penduduk Mas Gading telah menerima fasiliti ini tetapi tidak bagi bekalan air di mana banyak lagi yang perlu kita lakukan.

“Bagaimanapun, tahun ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memberi sejumlah peruntukan kepada kita untuk menyiapkan bekalan air terawat di kawasan ini.

“Pemasangan paip telah siap dan apa yang perlu dilakukan kini ialah penyambungan paip utama ke meter,” jelasnya.