Lapor jika ada mengenakan GST sebelum 1 April

2

MIRI: Pengguna boleh membuat laporan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika dikena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum 1 April.

Aktivis Sosial Masyarakat Wan Zain Syed Mohdzar berkata ketika ini ramai pihak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga barang sekali gus mengambil kesempatan dengan pelaksanaan GST.

“Pengguna mempunyai hak dan jika mereka berasa tertipu dikenakan GST sebelum pelaksanaannya pada 1 April ini, ia satu jenayah penipuan dan perlu dilapor kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Wan Zain berkata demikian ketika mengulas tindakan sebuah pasar raya yang telah mengenakan cukai GST kepada pengguna meskipun pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April ini.

Beliau memberitahu, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemar nama baik kerajaan tetapi juga menambah bebanan rakyat yang ketika ini telah terbeban akibat kos sara hidup yang tinggi.

“Ia hanya satu kes  dikesan di Kuching namun kita percaya masih ramai pihak tidak bertanggungjawab akan menaikkan harga barang di bandar-bandar lain termasuk luar bandar,” tegasnya.

Wan Zain berkata, GST akan diperkenal pada April 2015 pada kadar enam peratus menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Namun katanya, sebelum pelaksanaan itu, sudah terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan mengenakan caj GST kepada pengguna sebelum 1 April.

“Pihak kastam dan KPDNKK telah menubuh bilik gerakan untuk memantau pelaksanaan aduan pengguna, jika mereka mereka berasa tertipu atau berlaku penyelewengan, mereka boleh menghubungi pihak terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, rakyat perlu memahami matlamat sebenar kerajaan memperkenalkan GST yang telah terbukti memberi manfaat kepada 165 negara.

Wan Zain menjelaskan, adalah amat penting rakyat memahami manfaat dan kesan pelaksanaan GST dan bukannya terpengaruh dengan ideologi pihak yang membantah GST.

Pada masa sama, kerajaan juga katanya perlu menyiarkan senarai barangan yang tidak dikenakan GST dalam media cetak dan elektronik dari semasa ke semasa agar pengguna tidak berasa tertipu.