Memulihara bumi tanggungjawab kita bersama

0

Hanya ada satu bumi untuk semua manusia dan tanggungjawab menjaganya perlukan kerjasama semua

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Tanggungjawab memelihara keseimbangan dan keselamatan bumi berada atas bahu manusia di seluruh pelosok dunia, kata  Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh.

Jelasnya, hanya ada satu bumi untuk semua manusia dan tanggungjawab menjaganya memerlukan kerjasama semua.

“Oleh itu, kita harus menghargainya, menjaga bumi ini dan kita tidak mahu bumi ini menjadi tempat tinggal  tidak kondusif untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi pandangan sebagai tetamu kehormat pada pelancaran Hari Cintai Bumi 2015 di Pintu Gerbang Sibu malam kalmarin.

Jelasnya,  manusia boleh melakukan pembangunan tetapi pembangunan itu harus atas dasar kelestarian yang bermaksud tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

Sambung beliau lagi, manusia harus belajar untuk mengurus, melindungi dan mengekalkan apa sedia ada di bumi ini dan memelihara alam adalah tanggungjawab semua orang.

Wong menggesa jabatan, agensi kerajaan, serta badan bukan kerajaan dan semua orang agar memain peranan masing-masing bagi melindungi alam sekitar kerana jika semua orang memain peranan masing-masing, ini boleh menjadikan bumi sebagai sebuah tempat tinggal selesa untuk umat manusia.

“Kita perlu menyedari apa yang berlaku di sekeliling kita dan kita harus memelihara bumi kita,” katanya.

Sementara itu, Wong menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan terhadap pembiakan nyamuk aedes.

Beliau mengingatkan orang ramai agar membersihkan kawasan sekitar rumah mereka agar tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

“Kita berasa risau dengan kes penularan penyakit denggi pertengahan tahun lepas, hanya minggu ini ada menunjuk penurunan wabak tersebut.

“Oleh itu, saya merayu kepada semua isi rumah, setiap isi rumah harus mengambil 10 minit langkah pencegahan dalam seminggu bagi memeriksa kawasan persekitaran tempat tinggal bagi memastikan sarang pembiakan nyamuk aedes seperti tempat air bertakung di dalam botol pecah atau bekas kosong segera dihapuskan,” tambahnya.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong, Setiausaha MPS Hii Chang Kee dan pengerusi penganjur Kaunselor Rhoda Ting adalah antara yang hadir malam kalmarin.