MPS anjur gotong-royong memerangi aedes

0

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) terus menganjur aktiviti gotong-royong dalam tempoh tiga minggu ini dalam usaha memerangi denggi yang semakin meningkat kesnya di sini.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata aktiviti itu akan terus diadakan sehingga 18 April ini sempena Hari Cintai Bumi.

Jelasnya, kempen kebersihan akan memberi tumpuan kepada beberapa zon yang merupakan kawasan ‘hotspot’ bagi kes denggi.

“Kami mengharapkan kerjasama ramai daripada masyarakat setempat untuk mengambil bahagian dalam gotong-royong tersebut sekali gus memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Jom Gotong-Royong ‘Say No To Aedes’ di Sekolah Kebangsaan Bandaran No.4 di sini, kelmarin.

Beliau berkata sebenarnya tanggungjawab memerangi denggi merupakan tanggungjawab semua dan tidak terlalu bergantung dengan pihak berkuasa semata-mata.

“Kita harus sedar bahawa tanggungjawab menjadikan alam sekitar bersih dan bebas daripada nyamuk aedes adalah tanggungjawab kita semua,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha MPS Hii Chang Kee dan pengerusi jawatankuasa penganjur Kaunselor Rhoda Ting.

Lebih 170 peserta termasuk pelajar dan kakitangan Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) dan Sekolah Antarabangsa Woodlands telah terlibat dalam kempen kebersihan tersebut.

Sementara itu, Tiong menasihati rakyat agar mengikis tabiat membuang sampah merata-rata.

Sebagai contoh ujarnya, semasa beliau berkunjung ke bandar Chengdu, China baru-baru ini beliau memerhatikan masyaraakat di situ mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Menurutnya, masyarakat negara itu sangat mengambil berat tentang kebersihan dan tidak membuang sampah di merata tempat.

Katanya penduduk di sana amat prihatin dengan kebersihan dan kesihatan.

“Diharap rakyat tempatan di sini sedar agar mengambil berat soal kebersihan agar kita bekerjasama memerangi nyamuk aedes,” tambahnya sambil memberitahu persekitaran yang bersih juga mampu menjadi tarikan kepada pelancong luar.