Pendidikan efisien hasil modal insan cemerlang

0

Pendidikan efisien perlu agar dapat ubah taraf hidup individu, masyarakat setempat

Oleh Rusnan Mustafa //

GEDONG: Aspek pendidikan efisien harus ada bagi memastikan modal insan cemerlang dapat dihasilkan, kata Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Kamaluddin Mohd Effendi.

Beliau memberitahu, aspek pendidikan yang efisien perlu ada agar ia dapat mengubah taraf kehidupan individu dan masyarakat setempat.

“Kita lihat sendiri di Gedong ini, ramai graduan universiti dan pemimpin telah berjaya dihasilkan menerusi aspek pendidikan yang efisien yang diterapkan.

“Malah wakil rakyat di Simunjan ini ialah orang Gedong iaitu Yang Berhormat Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengarah FAMA Encik Paza Dan juga orang sini…inilah yang dikatakan pembangunan modal insan harus disertakan aspek pendidikan yang berkesan untuk mengubah nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Semarak Sastera 2015 Bersama Pemimpin mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri di Panggung Terbuka Gedong semalam.

Program tiga hari yang bermula 26 Mac lalu itu menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti bengkel pengucapan awam, penulisan karya kreatif, pertandingan tarian tradisional, bertandak, mewarna, pameran dan jualan buku.

“Program seumpama ini dapat membantu menyediakan peluang untuk anak-anak muda di sini mengenali sastera dengan lebih dekat lagi,” tambah Kamaluddin.

Malah menurutnya, program itu juga dapat menjadi platform membentuk dan menghidupkan semangat sastera di kalangan generasi baharu.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menghidupkan kembali sastera dalam kalangan generasi muda masa kini agar ia tidak luput ditelan kemodenan zaman,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak Dr Hazami Jahari, Penghulu Kampung Gedong Abang Ronee dan Pemanca Gedong Shara.