Persatuan teksi perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak LTS

0

SIBU: Persatuan Teksi Bumiputera Bersatu Sibu diminta meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Lapangan Terbang Sibu (LTS) termasuk menyediakan perkhidmatan secara talian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata ini bertujuan memastikan penumpang yang tiba lewat malam masih boleh mendapatkan perkhidmatan teksi.

Katanya ketika ini hanya perkhidmatan teksi pengangkutan awam yang boleh didapati di LTS yang terletak agak jauh dari pusat bandar.

“Bagi pengunjung baharu menjejakkan kaki di sini, mereka hanya bergantung kepada pengangkutan awam untuk membawa mereka dari LTS ke pusat bandar.

“Ia tidak seperti penduduk tempatan kerana mempunyai saudara-mara membawa mereka dari LTS ke destinasi ditujui.

“Oleh itu, amat perlu pihak persatuan mewujudkan kerjasama dengan LTS dari segi penyediaan radio atau perkhidmatan talian bagi mengetahui waktu penerbangan berlepas atau mendarat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari anjuran persatuan berkenaan di sini baru-baru ini.

Cadangan tersebut timbul selepas masalah mengenai kesukaran mendapatkan perkhidmatan teksi terutama apabila berlaku kelewatan penerbangan sebelah petang dibangkitkan dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Menurut Dr Annuar, hanya pihak berkuasa penerbangan yang mempunyai maklumat mengenai waktu penerbangan.

“Oleh itu, khidmat panggilan harus diwujudkan secara bersama dengan LTS kerana dapat memberi manfaat kepada pemandu teksi yang mungkin tidak sanggup menunggu terlalu lama di lapangan terbang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Annuar melahirkan keyakinan persatuan itu yang mempunyai 29 ahli dapat memainkan peranan penting kepada masyarakat di sini melalui usaha bersepadu.

Jelas beliau, soal bilangan ahli tidak harus menjadi halangan untuk menggerakkan persatuan itu melangkah lebih jauh ke hadapan.

Sementara itu, persatuan terbabit mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) memilih ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2015-2016.

Dr Annuar dilantik sebagai penaung dan Penghulu Baling Jengen dipilih sebagai penasihat.

Collin Tinting pula dipilih sebagai pengerusi dan dibantu Aliddin Abu Seman.

Janda Jali pula menyandang jawatan setiausaha dan dibantu Aba Masis manakala jawatan bendahari disandang Desmond Sinau dan Henry Brayan dilantik penolong bendahari.

Ahli jawatankuasa lain terdiri daripada Lucas Bedui, Nyalu Engot, Jubang Kuan, Laso Bantin dan Abas Jamari.