SEDC sedia dana bantu usahawan fotografi

0

Sedia dana promosi Bintulu melalui kalendar gambar, anjur pertandingan fotografi

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sedia membantu dengan memperuntukkan dana bagi mempromosikan Bintulu melalui penghasilan kalendar gambar mengenai Bintulu serta penganjuran pertandingan fotografi bagi memperkembang kemahiran dan potensi jurugambar-jurugambar di sini.

Pengerusi SEDC Datuk Talib Zulpilip berkata, mereka yang mempunyai kemahiran fotografi perlu melihat kemahiran mereka mampu menjadi punca pendapatan dan perniagaan terutama apabila mereka mampu menjadi seorang jurugambar profesional.

“Jangan bimbang, kamera telefon bimbit tidak dapat mengganti cara jurugambar profesional merakam gambar,” katanya pada Majlis Penutupan Kursus Asas Keusahawanan Fotografi Digital anjuran SEDC di sini semalam.

Justeru, Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata merakam gambar melalui telefon bimbit tidak dapat mengganti jurugambar profesional namun keutamaan penting perlu ditekankan menjadi seorang jurugambar yang baik adalah berbakat, berkebolehan dan berkemahiran.

“Mereka yang ada minat dan kebolehan perlu menggunakan minat mereka itu sebagai sumber perniagaan lebih-lebih lagi melihat taraf hidup masyarakat semakin maju mewujudkan permintaan lebih terhadap sesuatu keperluan seperti bidang fotografi,” jelasnya.

Talib yang juga Menteri Muda Pelancongan berkata cadangan menghasilkan kalendar Bintulu dengan mengambil gambar-gambar Bintulu sebagai bahan-bahannya dan seterusnya mampu dijual, perlu sokongan pelbagai pihak seperti Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan SEDC.

Beliau berkata pertandingan fotografi juga boleh dianjurkan dengan rakaman gambar bertemakan pemandangan Bintulu yang indah, kegiatan nelayan menangkap bubuk, ikan dan sebagainya.

“Tidak hanya dalam bidang usahawan fotografi malah cabang usahawan lain bukannya mudah diceburi yang menuntut mereka gigih berusaha,” katanya.

Kursus disertai oleh 32 peserta termasuk ahli Bintulu Visual Art Community dan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Jepak itu bertujuan mendedahkan peserta tentang pelbagai teknik dan kemahiran terkini bidang fotografi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan SEDC Shafiee Ahmad, Pemanca Rosli Kamaruddin dan ketua-ketua masyarakat.