Tekankan aspek keselamatan dalam modul latihan memandu

0

EJEN IMKG: Nogeh menyampaikan sijil pelantikan kepada wakil ejen IMKG bagi kawasan Lundu sambil disaksikan Henry (kanan), Hamsein dan Michael.

Ini berikutan statistik kemalangan maut melibatkan pengguna jalan raya semakin membimbangkan termasuk di Mas Gading

Oleh Agnes Tugong //

LUNDU: Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh Gumbek semalam menggesa Institut Memandu Kota Gading (IMKG) menekankan aspek keselamatan dalam modul latihan IMKG.

Gesaan ini adalah susulan statistik kemalangan maut melibatkan pengguna jalan raya yang semakin membimbangkan termasuk di kawasan Mas Gading.

“Malaysia merupakan salah sebuah daripada negara yang mencatatkan kes kemalangan tertinggi di dunia terutama melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

“Malah sejak saya menjadi Ahli Parlimen di Mas Gading ini saya dapati kes kemalangan maut juga semakin meningkat.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya kita lebih berhati-hati ketika di jalan raya.

“Justeru saya menggesa IMKG termasuk institut memandu lain agar tidak hanya melatih dari segi teknikal tetapi juga dari segi keselamatan ketika berada di jalan raya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jerayawara IMKG di pekan Lundu serta penyampaian sijil kepada dua ejen IMKG bagi kawasan Lundu dan Sematan, semalam.

Terdahulu pada majlis itu, Pengarah Urusan IMKG Sdn Bhd Henry Harry Jinep berkata jerayawara tersebut diadakan khas untuk masyarakat di Lundu dan Sematan.

Tujuannya adalah untuk memudahkan penduduk luar bandar mendapatkan lesen memandu pada kadar yuran istimewa sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Bulan lepas menurut Henry, IMKG telah membuka sebuah pusat sehenti di pekan Bau dan semalam IMKG telah melantik dua ejen untuk pendaftaran lesen memandu di Lundu dan Sematan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar, Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak William Jinep, Pengurus Operasi IMKG Michael Jinep, pemimpin dan ketua masyarakat.