Tidak perlu laku pembelian panik sebelum 1 April

2

KUCHING: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan membabitkan semua barang dan pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik sebelum ia dilaksanakan pada 1 April.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, sepatutnya harga barang turun disebabkan pemansuhan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“SST adalah melibatkan kadar antara 10 hingga 16 peratus dan dengan pemansuhannya pengguna hanya perlu membayar lebih enam peratus daripada kos sebenar barang,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa kepada peniaga agar mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan dan (KPDNKK) atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung senarai barangan dikenakan GST.

“Peniaga, pengedar dan peruncit tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas pelaksanaan GST untuk menaikkan harga barang terutama bagi mereka yang tidak berdaftar dengan sistem percukaian,” ujarnya.

Pada masa sama, Naroden berharap peniaga tidak sewenang-wenang menaikkan harga barang sebelum 1 April.