Kerajaan komited bantu penduduk luar bandar

0

Oleh Ambrose Rirang //

Kerajaan persekutuan sumbang RM1.5 juta buat penduduk Rumah Henry Nuni Plen bagi baiki prasarana

PENHARGAAN: Ujang (dua kanan) memberi cenderamata kepada Najib pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Henry Nuni, semalam.Turut kelihatan (dari kiri) Masing, Jabu dan Shafie.

BINTULU: Kerajaan persekutuan mengumumkan sumbangan RM1.5 juta buat penduduk Rumah Henry Nuni Plen, Sungai Gelam Sebauh Bintulu bagi memperbaiki prasarana di kawasan rumah panjang yang didiami 53 keluarga itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengumumkan demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Henry Nuni Plen, Sungai Gelam Sebauh, petang semalam.

“Sumbangan yang disalurkan itu nanti akan digunakan oleh penduduk rumah panjang memperbaiki struktur rumah panjang, memperindahkan kawasan laluan pejalan kaki kawasan dermaga Sungai Sebauh yang terletak di hadapan rumah panjang dan tebatan banjir,” ujarnya.

Jelasnya, semua ini jelas membuktikan yang kerajaan sememangnya benar-benar komited membantu penduduk di negeri ini khususnya yang tinggal di kawasan pendalaman.

Justeru katanya, penduduk di kawasan luar bandar tidak harus berasa terpinggir kerana kerajaan seboleh-bolehnya berusaha memberi akses terbaik bagi membantu rakyat melalui apa sahaja cara dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

“Dalam pada itu, atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan penoreh getah di negeri ini yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi berkenaan di pasaran pada masa sekarang, saya turut mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM500 buat setiap pengusaha getah di negeri ini bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh golongan berkenaan,” jelas beliau.

Dalam ucapannya, Najib melahirkan keyakinan bahawa sokongan rakyat di negeri ini terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) masih lagi utuh dan semua ini jelas membuktikan yang kerajaan sedia ada akan berupaya menang besar pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Justeru beliau berharap sokongan yang diberikan itu akan terus diperhebatkan lagi bagi memastikan  pembangunan terus dilaksanakan di Sarawak selaras dengan usaha kerajaan negeri yang ingin menjadikannya sebuah negeri maju pada masa depan.

Sambil menyifatkan kerajaan BN sebagai sebuah kerajaan yang amat prihatin terhadap nasib rakyat di negeri ini, Najib berkata yang kehendak atau aspirasi rakyat Sarawak akan dapat dicapai melalui persefahaman yang cukup kukuh antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Oleh yang demikian, saya berani berkata bahawa pihak pembangkang harus berhenti berharap untuk cuba menawan tampuk pemerintahan negara kerana mereka (pembangkang) mengamalkan amalan politik pecah belah yang hanya untuk memenuhi agenda peribadi pemimpinnya sahaja,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut merasmikan Sistem Pemadam Api iM Sarawak bernilai RM2 juta dengan kos pemasangan sebanyak RM15,000  yang terletak di pekarangan rumah panjang berkenaan.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 5,000 penduduk dari kawasan daerah kecil sebauh termasuk dari Tubau, Tatau, Suai dan Niah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri datuk Amar  James Masing, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Sri Celestine Ujang Jilan antara yang hadir.