Lorong belakang pasar dijadikan ‘tandas’ lelaki

0

PENGOTOR: Lorong belakang Open Air Market yang dijadikan tempat membuang air kecil pengunjung pada waktu malam.

MIRI: Kawasan lorong belakang Pasar Pusat Miri lebih dikenali Miri Open Air Market di High Street dijadikan sebagai `tandas’ pengunjung lelaki membuang air kecil pada waktu malam.

Keadaan lorong gelap dijadikan sebagai pelindung kepada pengunjung termasuk pengusaha membuang air kecil secara terbuka.

Masalah ini dikatakan telah lama `dipraktikkan’ kerana ketiadaan tandas di pasar berkenaan.

Dua tandas awam terletak beberapa puluh meter dari pasar tersebut.

Tandas terdekat terletak di seberang jalan sementara sebuah lagi terletak berhampiran restoran SugarBun di High Street.

Bagaimanapun kedua-dua tandas ini beroperasi sehingga jam 10 malam yang dijadikan alasan untuk pengunjung membuang air kecil di lorong berkenaan.

Masalah ini disuarakan Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) Kaunselor Keith Chin yang meminta Jawatankuasa Tetap Pasar, Tamu dan Penjaja (MTH) untuk mencari jalan membendung aktiviti berkenaan.

“Lorong di belakang Open Air Market lama dijadikan tempat membuang air kecil dan masalah ini disuarakan sebelum ini untuk tindakan.

“Adakah kita perlu membina sebuah tandas awam di pasar ini? “ soal beliau.

Cadangan ini turut mendapat perhatian Datuk Bandar Miri Lawrence Lai yang mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis semalam.

Keith berkata beberapa gerai makan dan minum di Open Air Market beroperasi selama 24 jam merupakan antara destinasi popular penduduk dan pelancong.

Ketiadaan tandas menggalakkan lagi kelakuan pengunjung untuk kencing di lorong dan amalan itu harus dihenti bagi menjaga kebersihan dan imej Miri.

Menjawab pertanyaan Keith, jawatankuasa MTH berkata belum sesuai untuk membina sebuah tandas awam baharu untuk keperluan tersebut.

Jawatankuasa mencadangkan agar kawasan lorong itu yang sebelum ini tidak memiliki lampu akan  diterangkan agar pengunjung tidak berani membuang air kecil.

“Mungkin kerana keadaan lorong gelap mereka berani kencing di kawasan itu. Kita akan cuba pasang lampu untuk menerangkan lorong itu,” jelas mereka.

Antara cadangan lain ialah meletak papan tanda melarang membuang air kecil di lorong itu.

Sehubungan itu, aduan tandas kotor dan tersumbat turut dibentangkan pada mesyuarat oleh Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Mohd Chee Kadir.

Beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan tandas di beberapa tempat kunjungan awam di sini.

Antaranya, tandas di dewan menuntut semula bagasi di Lapangan Terbang Miri, tandas Hospital Miri dan tandas Pusat Kraftangan Miri.