Tisu kultur benih pisang baka terpilih bebas jangkitan perosak dihasilkan

0

PERSEFAHAMAN: Pertukaran MoA di antara Lai (dua kiri) dan Graeme (dua kanan) sambil disaksikan Lily (kiri) dan Tim (kanan).

KUCHING:Jabatan Penyelidikan Pertanian Semenggok telah menghasilkan tisu kultur benih pisang baka terpilih yang bebas daripada jangkitan perosak untuk tujuan penanaman komersil di sini.

Pengarahnya Datu Lai Kui Fong berkata ia merupakan hasil kerjasama kajian yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) dengan Malesiana Tropical Sdn Bhd (Malesiana) baru-baru ini.

“Kita ada jangkitan tanaman pisang yang dinamakan Panama dan Sigatoka yang mana ia agak biasa menyerang tanaman yang mana kita pernah mengalaminya di Samarahan, Miri dan Bekenu namun masih dalam keadaan terkawal.

“Akan tetapi, buat masa ini kita memfokuskan kepada ‘Moko’ dan ‘Blood Diseases’ yang terjadi di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia, juga tersebar meluas di negara-negara lain,” katanya ketika ditemui selepas selesai Majlis Menandatangani MoA mewakili kerajaan negeri dengan Malesiana di sini semalam.

Tegas beliau, kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga daripada terjadinya perkara yang sama dan pihaknya telah mengkultur pokok dari ARC bagi penghasilan kekuatan terhadap serangan penyakit dengan menyebarkan platlet yang lebih berkualiti dan banyak.

Tambahnya, penanaman pisang komersil khususnya akan mendapat hasil yang lebih seragam dengan kadar saiz pokok, waktu berbuah dan hasil tuaian yang lebih singkat.

Sebelum itu, katanya tanaman pisang yang sudah dijangkiti boleh dikenal pasti apabila terdapat ulat di dalam kon pisang serta daunnya kelihatan kering dan setelah dibelah dahan akan kelihatan keperangan.

Benih pisang bebas jangkitan perosak

“Biasanya pegawai kami akan menjalankan lawatan kerja untuk membuat pemeriksaan dan nasihat kami kepada petani komersil adalah untuk membuat sanitasi dan membersihkan ladang mereka terlebih dahulu.

“Benih pisang daripada tempat lain tidak digalakkan ditanam bersama dengan kultur tisu atau tanah yang telah disanitasi untuk mengelakkan kawasan tersebut dijangkiti kuman yang cepat merebak ini.

“Selepas itu baharu ditanam dengan kultur tisu pisang yang baharu yang telah dihasilkan oleh Malesiana yang dijual pada anggaran RM2 satu benih mengikut saiz dan baka,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pengeluar terbesar tanaman pisang di negeri ini ialah Bintangor dengan pekebunnya boleh menghasilkan sekurang-kurangnya dua hingga empat kontena dengan muatan 20 tan setiap satu dalam tempoh seminggu daripada penanaman kultur tisu benih pisang berkenaan.

Selain penghasilan pisang mentah, Jabatan Pertanian katanya menggalakkan petani menghasilkan kerepek pisang.

Pisang sekaki yang diperkenalkan tiga tahun lepas yang berasal dari Sabah berpotensi besar dijadikan kerepek pisang berbanding kerepek konvensional yang menggunakan pisang kepok.

Ujarnya, pisang sekaki memberi rasa premium pada kerepek pisang yang dihasilkan dan rasanya lebih enak dan sesuai untuk penghasilan kerepek pisang dalam skala yang besar bagi permintaan pasaran eksport.

Antara yang turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malesiana Graeme Iain Brown, Pengarah Penyelidikan Malesiana Dr Tim Hatch dan Pembantu Pengarah Jabatan Pertanian (Penyelidikan) Dr Lily Eng.