195 pelajar PMBS manfaatkan pemberian BB1M

0

BETONG: Seperti institusi pengajian tinggi lain di negara ini, Politeknik METRO Betong Sarawak (PMBS) tidak ketinggalan menikmati kemudahan disediakan kerajaan kepada mereka.

Pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) turut memberi manfaat kepada 195 pelajar PMBS dalam bidang Diploma Pengurusan Pelancongan serta Diploma Kewangan dan Perbankan yang layak menerima bantuan tersebut.

Pengarah PMBS Samsudin Saleh memberitahu, pengagihan BB1M peringkat PMBS dilaksana berdasarkan Garis Panduan Pemberian BB1M Tahun 2015 kepada pelajar dan Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah ditetapkan.

“Pelajar layak menerima BB1M ini perlu menggunakannya untuk tujuan pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah serta segala jenis kelengkapan bahan bacaan mampu memberi faedah berkaitan bidang pengajian masing-masing,” katanya semasa Majlis Pengagihan BB1M di PMBS dekat sini baru-baru ini.

Jelas beliau, BB1M berjumlah RM250 bagi setiap pelajar mempunyai tempoh sah penggunaan sehingga 31 Jun 2015 nanti dan pemberian ini membuktikan kerajaan terus membantu meringankan beban perbelanjaan pembelian bahan-bahan bacaan berbentuk akademik.

“Malah, program BB1M yang diteruskan kerajaan dari tahun sebelum ini berhasrat membudayakan amalan membaca agar mampu melahirkan modal insan yang berilmu dan berdaya saing.

“Justeru, setiap pelajar harus memanfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Pengarah PMBS Mohamad Zamre Abdul Rahman, Ketua Kursus Bahasa Inggeris Andrew Douglas Gudam serta Pegawai Perhubungan Awam PMBS Imelda Richard Fuchau.