29 April depan sebutan kes bunuh, bakar tiga beranak

0

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menetap 29 April ini untuk sebutan lanjut kes dua lelaki dituduh melakukan pembunuhan menyebabkan kematian tiga beranak dalam satu kebakaran di Permyjaya.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintah supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenar permohonan pegawai pendakwa yang memohon ditetap satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandang laporan kimia serta laporan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Dalam kes pertama, Ting Lung Ei, 24, dari Bandar Baru Permyjaya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh melaku pembunuhan hingga menyebabkan kematian Tiong Ing Tai, 61.

Manakala dalam tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan kesalahan serupa hingga menyebab kematian isteri Tiong iaitu Tang Poh King, 46, dan anak perempuan pasangan terbabit, Tiong Yong Hie, 14.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2 pagi hingga 3.15 pagi, 18 Februari lalu di Lot 7242-1-22, Lorong 9, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Manakala dalam kes berkaitan, Pek Thiam Chai, 56, dari Bandar Baru Permyjaya dihadap ke mahkamah sama atas tiga tuduhan membunuh dan bersubahat dengan Ting Lung Ei untuk melakukan pembunuhan terhadap tiga beranak terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.