Bomoh: 3 kes dilapor di Padawan

2

Oleh Jeremy Lanson//

 

PADAWAN: Sehingga semalam, sebanyak tiga kes penipuan bomoh oleh sekumpulan wanita Cina dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini yang melibatkan kerugian mencecah RM350,000.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek berkata, ketiga-tiga kes tersebut dilaporkan berlaku sejak awal tahun dan yang terakhir pada 23 Mac lalu dengan sasaran wanita berusia sekitar 30 hingga 50-an sebagai mangsa.

Menurutnya, berdasarkan keterangan daripada kesemua mangsa, dipercayai kes tersebut dilakukan oleh kumpulan yang sama di mana terdapat persamaan dalam modus operandi yang digunakan suspek.

“Mangsa akan didatangi suspek pertama yang akan berpura-pura bertanyakan kepada mangsa jika mengenali orang yang pandai berubat (bomoh) dan ketika itu akan datang seorang lagi suspek yang akan memberitahu dia kenal seorang bomoh yang boleh mengubat penyakit.

“Mangsa akan dipujuk oleh suspek berjumpa dengan seorang lagi wanita (suspek) yang akan menyamar sebagai bomoh dan kemudian akan memberitahu mangsa bahawa keluarganya akan ditimpa malapetaka.

“Suspek yang menyamar sebagai bomoh kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan semua wang dan barang kemasnya untuk tujuan upacara sembahyang,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas menyerahkan kesemua barang-barang tersebut kepada suspek, mangsa akan diberi satu bungkusan yang didakwanya mengandungi wang serta barang kemas miliknya untu dibawa pulang.

“Mangsa juga diarahkan untuk tidak membuka bungkusan tersebut selama seminggu dan jika tidak dipatuhi maka keluarganya akan ditimpa malang.

“Bagaimanapun, selepas seminggu, mangsa akan mendapati barang yang terdapat di dalam bungkusan tersebut hanyalah botol mineral serta bungkusan garam, dan ketika itu baharu mereka sedar yang mereka telah ditipu,” jelas Ng lagi.

Ketiga-tiga kes tersebut dilaporkan berlaku di Pasar Sungai Maong, Pasar Malam Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) dan Kota Sentosa.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.