Ceramah Mufti Menk di Masjid Jamek dapat sambutan

0

KONGSI ILMU: Mufti Menk menyampaikan ceramah ‘Back to Basics’ di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Kehadiran Mufti Ismail Musa Menk menyampaikan ceramah agama bertajuk ‘Back to Basics’ di Masjid Jamek, Petra Jaya di sini, malam kelmarin mengundang kehadiran ratusan penonton.

Sebelum ceramah berlangsung, orang ramai kelihatan telah memenuhi masjid seawal jam 6 petang agar tidak ketinggalan mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Fatwa Majlis Ulama Islam Zimbabwe yang lebih dikenalai dengan gelaran Mufti Menk itu.

Orang ramai yang hadir turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah dipimpin oleh beliau.

Tepat jam 9 malam, Mufti Menk berjubah putih dengan rona hijau muda dan emas memulakan ceramahnya.

Anak kelahiran Harare, Zimbabwe itu berkata asas untuk menjadi seorang Muslim terbaik ialah dengan memiliki ilmu pengetahuan dengan membudayakan amalan membaca.

Mengambil kisah Rasulullah SAW sebelum turunnya wahyu pertama yang memerintahkan baginda untuk membaca, Mufti Menk berkata dengan membaca dapat memberi ketenangan dan menjadi penerang dalam kehidupan.

Kata-kata serta kalimah keluar dari bibir penceramah terkenal di seluruh dunia itu terus menarik orang ramai untuk terus kekal sehingga penghujung ceramahnya.

Selain itu, beliau turut mengajak umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dengan bukan hanya sekadar membaca namun memahami isinya.

Dalam ceramahnya, beliau banyak menyentuh cara hidup baginda yang sederhana untuk diteladani dan dicontohi oleh umat Islam, selain menggalakkan budaya bersedekah.

Turut menyaksikan ceramah tersebut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Mufti Negeri Datu Kipli Yassin.

Mufti Menk merupakan graduan Undang-Undang Syariah daripada Universiti Madinah Munawwarah yang kemudiannya menjadi pakar perundangan di Gujerat.

Beliau telah dijemput untuk memberi ceramah di pelbagai negara, menyumbang kepada isi kandungan Islam dalam pelbagai saluran media dan menjadi pekerja sosial serta kaunselor berpengalaman.

Beliau juga gemar menghabiskan masa bersama golongan kurang berkemampuan dengan membantu dan mengajar mereka.

Setiap tahun, Mufti Menk akan menghabiskan bulan Ramadan bersama pelbagai komuniti di pedalaman untuk menerangkan Islam dan kesemuanya dengan sukarela tanpa mengharapkan ganjaran.

Dalam pada itu, beliau turut tersenarai dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre di Jordan.