Dua guru kontroversi Sabrina dipindah keluar Sarawak

0

MIRI: Kementerian Pendidikan sudah memindah kedua-dua guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong yang terbabit dalam isu pengislaman pelajar tingkatan satu, Sabrina Ngumbang keluar Sarawak.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting ketika mengesahkan perkara tersebut memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan tindakan pantas diambil kementerian yang mengarahkan kedua-dua guru tersebut berpindah tugas, bukan ke sekolah lain tetapi sekolah luar Sarawak.

Sehubungan itu diharap penjelasan Kementerian Pendidikan ini akan menjernihkan keadaan, kerana ramai mempersoalkan ke mana kedua-dua guru terbabit dipindahkan.

“Perkara seperti ini tidak harus berlaku, apatah lagi sekolah menjadi tempat mendidik anak-anak, bukannya berkaitan aspek menukar agama dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Utusan Borneo di sini semalam, ketika mengulas mengenai isu berkenaan.

“Ini serius apa lagi membabitkan pelajar bawah umur dan harus dirujuk kepada ibu bapa sebagai penjaga sah terlebih dahulu,” katanya.

Sebastian menekankan bahawa pelajar sekolah tanpa mengira bangsa dan agama, adalah di bawah umur dan dilindungi oleh undang-undang.

Jelasnya, guru besar serta pengetua sekolah bertanggungjawab melindungi kepentingan dan hak mereka (pelajar) seperti yang digaris-kan di bawah Akta Perlindu-ngan Kanak-Kanak.

“Seperti kita sedia maklum, kebanyakan pelajar sekolah di bawah umur 18 tahun dan mereka tidak dapat membuat keputusan sendiri dalam soal menukar agama, tanpa kebenaran ibu bapa dan pada masa yang sama, pengetua sekolah juga perlu memainkan peranan sebagai penjaga mereka,” katanya.

Beliau berharap sebagai pengetua sekolah, mereka seharusnya dimaklum terlebih dahulu mengenai kes seperti ini agar tindakan awal dapat diambil.

Beliau berkata SUPP juga menggesa Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan kepada semua guru bahawa semua pengetua dan guru besar perlu dimaklum terlebih dahulu jika terdapat isu yang sama.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap isu melibatkan kewangan, dalam perkara menukar agama pelajar seperti insiden berlaku baru-baru ini, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.