Dua rumah ranap dalam kebakaran berasingan

0

MARAK: Api sedang menjilat bahagian bawah rumah dua tingkat dalam kebakaran di Jalan Mandan, Sibu pagi semalam.

SIBU: Dua rumah hampir ranap menyembah bumi dalam dua kejadian berasingan di sini, pagi semalam.

Dalam insiden pertama, rumah kayu di Jalan Nyatoh separuh musnah selepas dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 6.45 pagi.

Rumah tersebut menempatkan lima bilik sewa termasuk tiga bilik berpenghuni.

Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 6.54 pagi mengerahkan 16 anggota diketuai oleh PBKII Donny Sumping menaiki dua jentera pemadam api Scania selain dibantu oleh Unit RIM dan EMRS.

Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah turut menghantar tujuh anggota dengan sebuah jentera Scania sebagai pasukan sokongan ke lokasi kebakaran.

Api dipercayai bermula daripada sebuah bilik sewa yang dihuni oleh lapan orang.

Menurut sumber, kebakaran dipercayai disebabkan oleh lingkaran ubat nyamuk yang terkena tilam.

Seorang wanita berusia 32 tahun yang dipercayai cuba menyelamatkan harta-benda miliknya dan dilaporkan cedera di tangan kanan dan kaki kirinya telah dikejarkan ke Hospital Sibu menaiki ambulans.

Menurut pihak bomba, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.08 pagi dan operasi tamat pada jam 7.36 pagi.

Sementara itu dalam kebakaran kedua, sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Mandan di sini musnah 60 peratus setelah dijilat api yang dipercayai bermula dari bahagian dapur sekitar jam 7.45 pagi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Sentral yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.57 pagi mengerah sebuah pasukan pemadam api dengan kekuatan tujuh orang dan sebuah jentera pemadam api Scania diketuai PBKII Donny Sumping serta dua anggota dari Unit EMRS.

Pasukan sokongan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah turut dikerah membantu dengan tujuh anggota diketuai oleh PBKII Hasman Bakar.

Turut berada di lokasi kejadian ialah Pegawai Kanan TPGB Mutalif Jaffar.

Menurut sumber, salah seorang penghuni rumah itu dikejutkan oleh satu bunyi letupan sebelum ternampak api sedang marak di bahagian dapur.

Pemilik rumah berkenaan kemudian memaklumkan penghuni lain agar keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Difahamkan, rumah itu dibahagi dua dengan seorang pemiliknya dikatakan berada di tempat kerja.

Orang ramai cuba memadamkan api, namun api sudah terlalu marak.

Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 8.07 pagi dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.12 pagi.

Sebuah kereta yang diparkir di bahagian legar bawah rumah turut terjejas, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden itu.Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.