GST: Harga makanan di premis makanan segera kekal

0

KUCHING:Pengusaha premis makanan segera masih mengekalkan harga lama bagi setiap menu hidangannya berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula hari ini.

Pembantu Pengurus Pemasaran KFC (Sarawak) Sdn Bhd Joey Siaw berkata ia dilakukan sedemikian disebabkan pihaknya sebelum ini turut mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus yang hanya ditukar nama kepada GST.

“Sebenarnya pengguna tidak perlu takut kerana harga menu hidangan di KFC atau Pizza Hut tidak memberi impak akibat pelaksanaan GST.

“Ia tidak akan berubah harga dan masih sama seperti sebelumnya… cuma nama cukai perkhidmatan enam peratus yang dikenakan di dalam resit pelanggan itu ditukar kepada GST yang masih berjumlah enam peratus.

“Tidak akan ada pertambahan harga, usah gusar. Malahan pihak kami bercadang untuk menurunkan harga bagi sebahagian daripada menu terpilih selepas ini untuk para pelanggan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran SugarBun Sarawak Clara Chan berkata pihaknya juga tidak mengubah sebarang harga pada menu yang dijual di premisnya di sini.

“Saya tidak mahu memberi banyak komen tetapi harga tetap sama dan kita akan mengadakan lebih banyak promosi sekerap yang mungkin mengikut kalendar promosi pihak kami,” katanya semalam.

Menurut sumber, kadar enam peratus GST adalah bagi menggantikan dua cukai semasa iaitu cukai jualan yang dikenakan pada kadar lima dan 10 peratus , manakala cukai perkhidmatan enam peratus.

Rakyat di negara ini telah membayar cukai enam peratus bagi perkhidmatan tersebut di pelbagai rangkaian restoran makanan segera seperti MacDonald selain KFC dan Pizza Hut.