Kenaikan dan penurunan harga rumah bergantung kepada bekalan, permintaan

0

KUCHING: Kenaikan dan penurunan harga rumah di negeri ini masih bergantung kepada kuasa bekalan dan permintaan pasaran walaupun kos sedikit meningkat.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Sim Kian Chiok, walaupun rumah kediaman dikecualikan GST namun bagi bahan binaannya masih lagi tertakluk kepada GST.

“Walaupun rumah kediaman dikecualikan, iaitu tidak dikenakan GST, namun bahan binaan, buruh dan jentera akan tertakluk kepada GST dengan cukai input tidak dapat dituntut balik.

“Justeru, kos pembinaan bagi rumah kediaman baharu dianggarkan meningkat sebanyak dua hingga tiga peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Namun kata Sim sama ada harga jualan rumah akan meningkat atau tidak masih bergantung kepada kuasa bekalan dan permintaan dalam pasaran walaupun kos sudah meningkat sedikit.

Beliau berkata pembeli dapat mencari rumah baharu yang hampir atau sudah siap kerana pemaju mungkin masih menjual rumah pada harga sebelum GST.

“Begitu juga kepada mereka yang mahu mencari rumah terpakai, kerana harga rumah jenis ini mungkin tidak akan naik serta merta selepas 1 April.

“Namun SHEDA menasihat pembeli terutamanya, agar membuat tinjauan terlebih dahulu dan membandingkan harga sebelum membelinya,” kata beliau.

Sim berkata sejak tiga bulan lalu sebelum pelaksanaan GST, permintaan bagi rumah semakin meningkat dari segi tempahan unit.

Jelas beliau ia kerana biasanya tertakluk kepada keupayaan pembeli untuk mendapatkan pinjaman bank.

Di Sarawak pada ketika ini harga rumah teres bertingkat di Kuching iaitu pinggir bandar seperti Malihah dan Sejingkat, harga rumah teres bertingkat bermula pada RM380,000 sementara rumah berkembar (Semi-D) bermula pada harga RM550,000.

Bagaimanapun di kawasan tengah bandar raya rumah teres dua tingkat bermula pada kadar RM500,000 sementara Semi-D bermula pada harga RM800,000.

Sementara itu harga rumah di Bintulu menyamai harga rumah di Kuching.