Najib dan Adenan melawat SIP

0

BINTULU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengambil kesempatan melawat Taman Perindustrian Samalaju (SIP) sejurus selesainya acara perasmian Fasa Pertama Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, semalam.

Dalam lawatan kerja selama dua hari Najib ke negeri ini pada 30 dan 31 Mac, beliau berserta rombongan terdiri daripada menteri kabinet persekutuan turut menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Henry Nuni Plen, Sungai Gelam Sebauh pada hari pertama lawatan (30 Mac).

Lawatan ke SIP beliau itu antara lain bagi melihat perkembangan semasa projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang sudah bermula pelaksanaannya.

Beliau turut melawat kilang perindustrian di SIP termasuk kilang Tokuyama Malaysia Sdn Bhd, Press Metal Bintulu Sdn Bhd dan Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB).

Terdahulu, Najib dan rombongan menghadiri sesi taklimat tertutup berhubung projek SCORE di Samalaju Imperial Resort yang dikendali Pengarah Unit Perancang Negeri (SPU) Datu Ismawi Ismuni.

Najib turut diberi penghormatan menandatangani plak sebagai tanda lawatan beliau ke SIPSB.

Dalam sesi lawatan ke SIPSB, beliau dan rombongan turut diberi taklimat ringkas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Datuk Mior Ahmad Baiti Mior Lub Ahmad.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan antara yang hadir.