Nelayan Beladin harus pertingkat usaha perbanyak sumber ikan

0

BELADIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor menggesa nelayan di kawasan Beladin mempergiat usaha memperbanyak sumber ikan untuk menjadikan Beladin sebagai pengeluar ikan pekasam, ikan salai serta ikan kering utama di negeri ini.

Menurutnya, kekayaan sumber yang ada perlu dimanfaat oleh masyarakat setempat jika mahu menghasilkan produk keluaran yang dapat dipasar dan diterima umum.

“Kredibiliti sebagai perkampungan nelayan terbesar di negeri ini harus diguna dan diambil peluang sebaiknya dengan menarik komuniti setempat untuk bekerjasama bagi menjadikan usaha ini berhasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beladin Saribas di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin dekat sini, kelmarin.

Razaili menjelas, jumlah ahli PNK Beladin Saribas melebihi 1,000 orang dengan majoritinya adalah golongan warga emas yang merupakan satu kelebihan untuk menjadikan hasrat sebagai pengeluar ikan pekasam, ikan salai serta ikan kering di sini tercapai.

“Pada masa sama kita melihat keperluan bagi merealisasikan usaha tersebut, saya mencadangkan agar PNK Beladin Saribas dapat bekerjasama dengan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beladin.

“Dengan kerjasama ini kita mencuba untuk menggembleng kebolehan dan kepakaran warga emas dalam pembuatan ikan pekasam, ikan salai serta ikan kering supaya dapat dijadikansumber pendapatan bersama,” katanya.

Jelas Razaili, kerjasama PNK Beladin Saribas dan PAWE Beladin diharap dapat menghasilkan produk yang dapat meningkatkan pendapatan.

“Dalam pada itu, ia juga dapat mengisi masa terluang warga emas dengan aktiviti berfaedah,” katanya

Beliau berharap nelayan di Beladin suatu hari nanti mampu membuktikan bahawa mereka merupakan pengeluar ikan pekasam, ikan salai serta ikan kering terbaik di negeri ini selain ikan segar yang menjadi hasil pendapatan lumayan di sini.