Nelayan boleh usahakan sendiri hasil tangkapan

0

Oleh Henrietta Liza//

 

TERIMALAH: Dr Rahman (empat kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengerusi PNK Buntal Djoesman Supian sambil diperhatikan Dr Hazland (kiri).

KUCHING: Terdapat pelbagai potensi besar yang dapat dimanfaatkan oleh para nelayan daripada industri perikanan di Sarawak .

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata para nelayan boleh mengusahakan sendiri hasil tangkapan mereka.

“Objektifnya mudah, ini sebagai titik tolak bagi melahirkan usahawan daripada kaum nelayan dan memartabatkan sosioekonomi nelayan sejajar dengan pembangunan drastik negara.

“Melalui cara itu ia bukan sahaja dapat mengubah taraf sosioekonomi para nelayan malah menghapuskan kewujudan orang tengah yang mengaut keuntungan lebih daripada hasil tangkapan mereka,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Buntal/Bako Ke-37 di Dewan Sri Buntal di sini semalam.

Beliau turut meluahkan kepercayaan dengan tambahan usaha gigih dan bantuan subsidi yang disediakan kerajaan ia berupaya menjadikan perusahaan para nelayan menjadi lebih besar.

Justeru, kebajikan dan pendidikan anak-anak juga tidak akan diabaikan dan perusahaan mereka akan diwarisi oleh pelapis daripada kalangan ahli keluarga.

“Kerajaan telah banyak membantu membangunkan sosioekonomi para nelayan di negara ini termasuk menyediakan sekolah menengah dan rendah untuk anak nelayan.

“Kita (nelayan) mesti sediakan satu sudut atau ruang di dalam rumah untuk anak kita mengulang kaji dan menelaah buku mereka agar banyak anak nelayan yang akan menjadi golongan terpelajar.

“Terutama dalam bidang sains dan maritim bagi membantu mengembangkan perusahaan itu kelak,” jelasnya.

Dr Abdul Rahman juga menyatakan rasa gembira beliau dengan keuntungan 99 peratus yang diperoleh oleh PNK Buntal berbanding 18 PNK di seluruh Sarawak pada tahun lepas.

PNK Buntal telah mencatat keuntungan sebanyak RM744,988 pada tahun lepas berbanding 2013 sebanyak RM374,756 dengan keahlian seramai 1,375 orang setakat ini.

Beliau mahu usaha itu diteruskan dengan penuh daya saing selain mencetus lebih banyak ilham dan pendekatan baharu untuk melaksanakan aktiviti bagi ahli dalam persatuan.

PNK Buntal mempunyai lima kawasan kegiatan iaitu Kampung Buntal, Kampung Santubong, Kampung Salak, Kampung Pasir Pandak dan Kampung Bako.

Pihaknya menjalankan kegiatan ekonomi seperti pusat pemprosesan hasil laut, medan ikan bakar, membekal makanan mentah, kering dan bermasak, menjual minyak diesel bersubsidi, membekal peralatan marin, membekal bot dan kontraktor binaan.

Semalam turut menyaksikan PNK Buntal menerima sumbangan bernilai RM56,122.50 selain beberapa sumbangan ikhlas yang lain untuk menjaga kebajikan anak nelayan yang masih bersekolah.

Turut hadir ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.