Pelaksanaan GST selaras dengan matlamat kerajaan memperkukuh hasil pendapatan

0

KUCHING: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah selaras dengan matlamat kerajaan memperkukuhkan hasil pendapatan negara dan melalui-nya juga pendapatan negara dapat ditingkatkan.

Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berpendapat, apabila kerajaan dapat menambah hasil pendapatan negara, pastinya rakyat mendapat manfaat daripadanya.

“GST merupakan sistem yang baik kerana kebanyakan negara menggunakan sistem ini.

“Melaluinya, hasil pendapatan negara dapat di-tingkatkan sekali gus bakal memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Dengan ini, kita hanya dapat tunggu dan lihat apabila ia dilaksanakan nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Beliau berpendapat, pasti terdapat kekurangan pada awal pelaksanaannya, namun beliau berharap masyarakat tidak berfikiran negatif dan menentang terus sistem tersebut tanpa mencuba-nya.

“Nasihat saya, pengguna khasnya dan masyarakat amnya sepatutnya tahu, tidak takut bertanya dan jangan hanya mengikut.

“Kita sendiri perlu tahu terdapat barang yang tidak sepatutnya dikenakan GST dan sekiranya ada pihak meningkatkan harga barang dan perkhidmatan tersebut kita mempuyai hak untuk membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab,” tegasnya.

Beliau turut merasakan pasti ada sesetengah ahli perniagaan akan mengambil kesempatan untuk meningkatkan harga barang melalui pelaksanaan GST.

“Kita sememangnya tidak bersetuju dengan tindakan pihak yang mengambil ke-sempatan ke atas sistem baharu ini, tetapi sekali lagi saya percaya pelanggan mempunyai hak dan kuasa.

“Pelanggan mempunyai kuasa memilih, jadi buatlah perbandingan dan pilihlah perkhidmatan atau barang yang dirasakan selayaknya dengan GST terbabit.

“Semuanya terpulang kepada kita untuk memilih, jadi saya merasakan rakyat tidak sepatutnya berfikiran negatif mengenainya,” jelasnya.

Katanya media perlu terus memainkan peranan bersama-sama kerajaan untuk menerangkan GST kepada masyarakat secara berterusan.