PERKIM mahu tingkat penglibatan dalam kesukarelaan

0

Oleh Sandy Mark Luna//

 

UNTUK KENANGAN: Hanifah (duduk, tengah) bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa selepas sidang media di ibu pejabat PERKIM ‘Sri Belian’ di Jalan Rodway di Kuching, semalam.

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak mahu memperkasakan keahlian daripada golongan profesional dan golongan muda untuk bergiat aktif dalam kerja-kerja kesukarelaan terutama dalam bidang kebajikan, pendidikan dan keagamaan.

Menurut Pengerusi PERKIM Sarawak Datuk Hanifah Taib-Alsree, bagaimanapun pertubuhan itu tidak merancang merekrut ahli-ahli secara agresif tetapi perlu berdasarkan sukarela.

“Merekrut ahli secara agresif bukan sifat pertubuhan ini, kerana sesiapa yang menyertai PERKIM, haruslah secara sukarela.

“Kami akan terus mendedahkan apa yang dijalankan.

“Sekiranya sesiapa berminat dan selesa dengan kegiatan yang dilaksanakan, mereka dialu-alukan untuk menyertai kita,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PERKIM ‘Sri Belian’ di Jalan Rodway di sini, semalam.

Hanifah berkata sesiapa yang ingin menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu harus berdasarkan semangat sukarela dan sedia berbakti kepada masyarakat.

PERKIM merupakan badan yang aktif dalam mengumpul dana besar untuk menjalankan aktiviti kebajikan, sosial dan kegiatan ekonomi bagi masyarakat kurang berkemampuan selain tidak meminggirkan golongan kurang upaya.

“Kita menggalakkan mana-mana daerah kecil untuk menubuhkan cawangan masing-masing asalkan ia menepati peraturan keahlian PERKIM di samping mengambil kira faktor-faktor logistik,” katanya.

PERKIM adalah sebuah NGO Islam di Sarawak yang menyatukan wanita-wanita Islam dalam aktiviti-aktiviti kebajikan, pendidikan dan dakwah.

PERKIM yang mempunyai 18 cawangan setakat 31 Disember 2014 mempunyai 4,270 ahli yang memfokus untuk membantu sesiapa yang memerlukan termasuk mangsa-mangsa bencana, ibu tunggal dan pesakit.

Hanifah berkata pihaknya juga berusaha menyediakan penyelesaian jangka panjang seperti Pusat Pemulihan Angin Ahmar Laila (Laila Stroke Rehabilitation Centre) di Pusat Komersil Bormil di mana pesakit hanya perlu membayar RM10 setiap sesi.

Terdahulu, Hanifah mengumumkan PERKIM Sarawak akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 pada 3 hingga 5 April ini di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Sebelum ini, Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM pernah diadakan di Sibu, Mukah, Bintulu dan pada tahun lepas di Lawas.

Ia dijangka dihadiri 112 perwakilan, 55 pemerhati dan 14 ahli jawatankuasa.

Selain membentangkan laporan tahunan PERKIM, pengisian lain dirancang bagi mesyuarat agung kali ini adalah majlis ilmu berbentuk seminar dan tazkirah, aktiviti sampingan yang dapat memantapkan ukhwah dalam kalangan ahli, gerai jualan, makan malam dan sesi penerangan.