Program ‘1Malaysia Support For Housewives’ akan dilancar di Sarawak

0

KUCHING: Buat julung kalinya Program ‘1Malaysia Support For Housewives’ (1MS4HW) akan dilancarkan di negeri ini dengan tiga bahagian sebagai pelaksanaan permulaan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata progarm di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) itu bakal dimulakan di Serian, Mukah dan Bintulu.

“Program ini di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kementerian bersama JTK dan ia akan dilaksanakan di ketiga-tiga kawasan berkenaan sebelum Jun tahun ini.

“Program iaitu Program Menjana Pendapatan Secara Berkelompok 1MS4HW ini khusus untuk suri rumah yang keluarga berpendapatan rendah dan dengan ini ia akan membantu mereka menjana pendapatan.

“Kita mahu golongan ini mampu meningkatan pendapatan dan taraf hidup mereka dengan bekerja dari rumah selain menggunakan teknologi yang ada pada masa kini,” katanya pada sidang media mengenai program berkenaan di pejabatnya di sini, semalam.

Fatimah berkata program sedemikian diyakini dapat membantu kementerian membasmi kemiskinan di kalangan golongan sasaran di luar program 1AZAM.

Jelas beliau, kementerian yakin program yang diadakan itu membantu golongan sasaran dengan kerjasama JTK memandangkan sebelum ini mereka juga pernah bekerjasama bagi program 1AZAM Kerja.

Sementara itu Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan JTK Sarawak Rahman Bee A.Mohamed Shariff berkata, program 1MS4HW menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peserta bagi setiap tiga bahagian berkenaan.

Beliau berkata di Semenanjung Malaysia, program berkenaan telah dilaksana sejak 2013 dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di Sarawak.

“Kami memilih tiga bahagian ini terlebih dahulu dan bagi mereka yang berminat disarankan untuk berkunjung ke pejabat JTK berhampiran mereka iaitu di Serian, Mukah dan Bintulu,” katanya.

Rahman Bee berkata, selain program itu dua lagi program yang diadakan di bawah Kementerian Sumber Manusia khas untuk wanita termasuk Housewives Enhancement and Reactive Talent Scheme (HEARTS).

“Program HEARTS ini menumpukan kepada golongan wanita yang mempunyai diploma atau ijazah sarjana muda tetapi tidak bekerja, di mana kita akan memberi mereka latihan dan kemahiran,” kata beliau.

Tambahnya program lain yang turut diadakan juga Survivor Skills For Women (SS4W), yang menumpukan untuk mengiktiraf pensijilan wanita berkemahiran.