Tonggak pembangunan

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

 

DI SINI: Najib menjelaskan sesuatu mengenai lokasi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo kepada Adenan, Fadillah serta Menteri Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

BINTULU: Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo merangkumi laluan dari Tanjung Datu hingga ke Merapok bukan sahaja menjadi pemangkin pembangunan ekonomi rakyat Sarawak bahkan membawa perubahan besar kepada pembangunan negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan lebuh raya itu bukan sahaja mengenai aspek perhubungan dari satu titik ke titik lain, tetapi melibatkan pembangunan ekonomi penduduknya.

“Hakikatnya, lebuh raya ini tonggak pembangunan dan perhubungan Sarawak, malah membantu mempercepat serta mengurangkan masa perjalanan daripada 19 jam kepada 12 jam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak empat lorong dua hala sejauh 1,076 kilometer di R&R Simpang Bakun, Batu 32 Jalan Bintulu-Miri semalam.

Najib menjelaskan, sebelum ini pembangkang menganggap projek mega itu sebagai satu pembaziran wang rakyat, namun melihat kepada sambutan penduduk di sini, beliau yakin ia pasti sesuatu yang dinanti-nantikan rakyat.

Menurutnya, projek itu merupakan projek kerajaan persekutuan yang memberi keutamaan tinggi kepada Sarawak dan dilaksanakan oleh pemaju tempatan dengan kos keseluruhan mencecah RM15 bilion.

“Apabila projek dibuat oleh orang Sarawak bererti ia direncana dan diolah rakyat sendiri. Ini berbeza projek lain kerana kalau pelabur luar melabur di negara ini, semua kontrak pembinaannya dibuat kontraktor luar yang dilantik pelabur,” jelasnya.

Justeru, katanya, pelantikan 75 konsultan Sarawak membawa kebaikan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai anak jati negeri ini bersandarkan kelulusan akademik, pengalaman dan berbakat besar sebagai jurutera, arkitek dan juruukur.

“Bayangkan sekiranya tiada projek ini mungkin anak Sarawak akan ke luar negara untuk mencari pekerjaan atau bekerja di Semenanjung,” katanya.

Selain itu, jelas Najib, Lebuh Raya Pan Borneo tidak mengenakan tol berbanding Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung kerana ia secara prinsipnya adalah jalan utama Sarawak memandangkan tiada jalan alternatif lain.

“Berbeza di Semenanjung, pengguna jalan raya menggunakan lebuh raya sebagai alternatif, maka mereka perlu membayar tol,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, semalam fasa pertama pembinaan lebuh raya sejauh 43km bermula dari Nyabau ke Bakun dan pada September depan, beliau akan datang lagi ke Sarawak untuk melancarkan projek fasa kedua yang membabitkan laluan 40km antara Tanjung Datu dan Sematan.

“Kita mahu kontraktor Sarawak mengendali projek ini dengan prestasi baik supaya ia berjalan lancar,” katanya.

Najib menegaskan, dari Tanjung Datu ke Sematan, Lundu, Kuching, Bau, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Selangau, Tatau, Bintulu, Simpang Bakun, Miri, merentasi Limbang di Tedungan-Pendaruan dan seterusnya hingga ke Mengkalap-Merapok di sempadan Sindumin di Lawas, bandar-bandar tersebut akan mengalami perubahan besar disebabkan lebuh raya itu.

“Mengikut perencanaan, akan diwujudkan peluang perniagaan dari luar bandar di pusat persinggahan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya ini kelak,” katanya.

Jelas Najib, pelancaran pembinaan projek itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji serta bukti terima kasih kepada Sarawak kerana memperkukuh hubungan dengan kerajaan pusat.

“Hari ini (semalam) juga boleh kita sifatkan bermakna dan bersejarah kerana ia merupakan projek yang ditunggu-tunggu selama 50 tahun oleh rakyat Sarawak. Ia ternyata seperti terkandung dalam manifesto BN pada Pilihan Raya (Umum) Ke-13 jika BN diberi mandat oleh rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, acara penyerahan surat komitmen dana pembangunan usahawan lebuh raya daripada Lebuh Raya Borneo Utara (LBU) kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) untuk Lebuh Raya Pan Borneo turut diadakan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusuf, menteri-menteri, timbalan menteri dan menteri muda kabinet persekutuan dan negeri.